Kuching, 4 Mei — Timbalan Premier Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), telah mengadakan satu lawatan khas ke Wisma Melayu Sarawak sempena persiapan akhir projek berkenaan.
Lawatan tersebut diadakan bagi meninjau perkembangan semasa projek, selain memastikan segala persiapan akhir dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Kehadiran beliau ke tapak projek turut mencerminkan komitmen berterusan pihak kepimpinan negeri dan AKYBMS dalam memastikan pembangunan Wisma Melayu Sarawak dapat direalisasikan sebagai sebuah institusi penting yang berperanan memperkasa warisan, sejarah dan identiti masyarakat Melayu Sarawak.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Yang Berbahagia Dato Sri Haji Mohd Naroden bin Haji Majais, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, serta Yang Berbahagia Datuk Hasmi bin Hasnan, Pengarah Urusan Naim Engineering Sdn. Bhd. dan pasukan perunding projek. Lawatan ini juga menjadi medan penting untuk meneliti aspek kesiapsiagaan akhir tapak, di samping memperkukuh kerjasama antara pihak pengurusan, lembaga pemegang amanah, kontraktor dan pasukan perunding dalam memastikan projek Wisma Melayu Sarawak dapat disiapkan dengan baik serta memenuhi matlamat penubuhannya.





