PERUTUSAN PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH AKYBMS

Bismillahirrahmannirahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.Menjunjung kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Pehin Sri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan atas keberangkatan hadir ke majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 1445H bersamaan tahun 2025 malam ini.

Pada kesempatan ini, kaula, ahli Lembaga Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, serta para hadirin-hadirat ingin menjunjung kasih mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.Menjunjung kasih, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri, kaula mohon menyampaikan ucapan kepada hadirin-hadirat.

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Haji Abang Abdul Rahman Zohari, Premier Negeri Sarawak dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Hj. Bujang

Yang Berhormat Tuan Speaker, YB Timbalan Premier, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak

YB Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri, Yang Berhormat-Yang Berhormat

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri; Datuk-Datuk, Datin-Datin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat menyambut Ramadan Al-Mubarak yang penuh barakah serta merayakan Aidilfitri tahun 1446 Hijrah bersamaan tahun 2025.  Dalam kesempatan ini, kaula ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Premier dan isteri kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama di majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS malam ini.  Sehubungan itu terimalah ucapan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin daripada kami di AKYBMS dan juga daripada hadirin-hadirat pada malam ini.

Kehadiran YAB Premier dan isteri memberi makna yang besar kepada AKYBMS.  Sesungguhnya YAB Premier merupakan pencetus idea penubuhan YBMS ketika itu semasa ucaptama Seminar Budaya Melayu Sarawak Kedua pada tahun 1993. Saya sendiri, ketika merasmikan penutupan seminar tersebut telah menyokong cadangan YAB Premier. Resolusi seminar tersebut kemudian dimajukan kepada YAB Ketua Menteri pada masa itu, Allahyarham Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang menyambut baik dan memberikan sokongan.

Seterusnya, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah dilantik untuk melaksanakan resolusi tersebut.  Tidak lupa juga, kita merakamkan penghargaan kepada YAB Premier dan keluarga atas sumbangan sebidang tanah, iaitu tapak rumah mereka sendiri, di Jalan Datuk Ajibah Abol.  YAB Premier juga telah memberi peruntukan untuk pembinaan sebuah bangunan yang kini dikenali sebagai Pusat Sumber Tun Abang Haji Openg.  

Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian, jelaslah bahawa YAB Premier merupakan seorang pemimpin Melayu Sarawak yang komited, berani, ikhlas dan berpandangan jauh bukan sahaja untuk masyarakat Melayu tetapi juga seluruh rakyat Sarawak.

Dalam tempoh setahun sejak majlis SAMArindok Aidilfitri 2024 yang lalu, AKYBMS telah melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat antarabangsa, kebangsaan, mahupun negeri.  Di peringkat antarabangsa, AKYBMS menyertai Rainforest World Music Festival (RWMF) melalui persembahan lagu-lagu Melayu oleh Ensemble Melayu Nusantara.

Di peringkat kebangsaan, AKYBMS telah menyertai Majlis Perasmian dan Penutupan SUKMA XXI. Di peringkat negeri pula, AKYBMS telah mencapai kejayaan besar setelah dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Badan Bukan Kerajaan/Persatuan dalam Majlis Rapat Raksasa sempena Hari Ulang Tahun Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Insya-Allah, AKYBMS akan sentiasa mendokong acara-acara yang akan datang.

Seperti biasa AKYBMS menganjurkan pelbagai program seperti Kem Pelajar Melayu-Islam Cemerlang, Kem SAMAsiswa, Kem SAMAsedia untuk para belia, program SAMAhaul dan SAMAingat yang memperingati syuhada Rosli Dhoby dan Rukun 13 serta para pejuang Melayu Sarawak terdahulu.  Dalam bidang keagamaan pula, AKYBMS menganjurkan Ihya Ramadan untuk membantu golongan asnaf. Pada masa yang sama, AKYBMS sentiasa bekerjasama dengan Jawatankuasa masjid dan surau sekitar Kuching dalam menganjurkan ceramah dan acara agama termasuk ceramah Awal Muharam.

Hadirin-hadirat yang dikasihi,

Projek Wisma Melayu Sarawak di Jalan Diplomatik, Petra Jaya, Kuching merupakan usaha yang sangat dibanggakan.  Pembinaan mercu tanda ini dimulakan secara rasmi pada bulan November 2022, dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan.  Insya Allah, Wisma Melayu Sarawak akan siap pada Disember 2025. Ia akan  mempunyai sebuah dewan yang mampu menampung 2 ribu orang.  Kami mengambil kira pertambahan penduduk di Petra Jaya, dan  In syaa Allah dewan sesuai untuk majlis perkahwinan dan pelbagai acara lain yang sangat kerap dianjurkan oleh masyarakat Melayu di Bandaraya Kuching.

Wisma Melayu Sarawak ini akan menampung sebuah Muzium Melayu Sarawak yang lebih maju termasuk penyediaan pusat informasi dan pendidikan tentang warisan sejarah dan kebudayaan Melayu.

Sehubungan dengan pembinaan Wisma Melayu Sarawak yang tersergam indah nanti, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Premier yang telah memberikan geran bagi menampung tabung pembinaan AKYBMS sendiri.  

Hadirin-hadirat yang dihormati.  

Masyarakat Melayu Sarawak telah melalui pelbagai dugaan, cabaran dan kejayaan dalam sejarah negeri Sarawak.  Marilah kita merapatkan dan memperjuangkan masa depan yang lebih baik  untuk anak cucu kita.  Majlis SAMArindok Aidilfitri 2025 pada malam ini merupakan salah satu wadah kita bersatu, berambeh, beringgo dan badudun.  Saya dan semua ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS sangat menghargai kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang datang dari dekat dan jauh bagi menjayakan majlis ini.

Menjunjung kasih Tuan Yang Terutama dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohamad Sanusi yang telah menyerikan majlis kita pada malam gilang-gemilang ini.

Pada masa yang sama, Kaula menghargai kehadiran YAB Premier dan isteri.

Sebelum mengundur diri, izinkan saya menyampaikan beberapa buah pantun:

Dari Kuching pergi ke Lawas,

Singgah sekejap di pasar Pusa;

Sik rasa terasing di negeri luas,

Seribu kuih tapi satu rasa.

Kalau ada jarum yang patah,

Jangan disimpan dalam peti;

Jika ada silap dan salah,

Jangan disimpan di dalam hati.

Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin.

Wabillahi taufik wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh