Sejarah

Semasa ditubuhkan pada tahun 1994 badan ini dinamakan Yayasan Budaya Melayu Sarawak(YBMS) dan pada tahun 2003 telah didaftarkan semula menjadi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).

Ilham untuk menubuhkan sebuah organisasi baharu untuk masyarakat Melayu Sarawak telah tercetus semasa Seminar Budaya Melayu II pada tahun 1993 dalam rangka Simposium Budaya Sarawak II anjuran Kerajaan Negeri Sarawak. Para peserta seminar tersebut yang terdiri daripada pemimpin politik, kakitangan kerajaan, sarjana, guru dan ketua masyarakat dari semua Bahagian berpendapat perbalahan politik yang masih hangat ketika itu memerlukan wadah baharu untuk memupuk semula ukhuwah yang telah tergugat itu.

Sehubungan itu para peserta telah bersetuju sebulat suara meluluskan satu resolusi untuk menubuhkan sebuah Yayasan Budaya Melayu (YBMS) serta dengan kutipan derma kilat untuk tabung kewangan sebagai tanda semangat yang berkobar-kobar para peserta seminar.

Resolusi tersebut telah dimajukan kepada pihak Kerajaan Negeri Sarawak dan telah mendapat persetujuan dan galakan yang diharapkan. Lanjutan daripada itu sebuah jawatankuasa telah dibentuk di kalangan pemimpin politik, penjawat awam, intelektual, ahli ekonomi dan budayawan untuk menggubal wawasan dan tujuan YBMS.

Pada 19 Mac 1994 YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud telah melancarkan YBMS di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan penuh adat istiadat Melayu. Kerajaan Negeri, firma-firma dan orang perseorangan pihak telah menghulurkan sumbangan kewangan dan berjaya mengumpul hampir RM2 juta pada malam yang bersejarah itu.

Dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, YBMS telah diperbadankan pada 27 Jun 1994 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan mengikut Akta Syarikat Persekutuan Malaysia. Setelah hampir 10 tahun sebagai sebuah syarikat, ahli Lembaga YBMS mendapati banyak kemudahan dan peluang di peringkat negeri sukar dimanfaatkan.

Oleh yang demikian pada tahun 2003, YBMS telah didaftar di bawah Ordinan Amanah Khairat Sarawak dengan nama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).

Perubahan pada nama tidak mengubah wawasan dan tujuan AKYBMS.