AKYBMS MARTABATKAN NOVEL MELAYU PERTAMA DI DUNIA, HIKAYAT PANGLIMA NIKOSA SEMPENA ULANG TAHUN KE-150

KUCHING, 11 Ogos – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Kursi Nusantara, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pustaka Negeri Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Antarabangsa Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia: Hikayat Panglima Nikosa, seperti yang diumumkan dalam sidang media yang diadakan hari ini.
Menurut Pengurus Besar AKYBMS, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said, persidangan antarabangsa yang mengangkat tema “150 Tahun Hikayat Panglima Nikosa” dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 26 November 2026 di Wisma Melayu Sarawak, Kuching. Penganjurannya direncanakan khusus bersempena ulang tahun ke-150 penerbitan Hikayat Panglima Nikosa yang dicetak pada tahun 1876, yang turut terpahat sebagai titik tolak penting dalam perkembangan Sastera Melayu Moden.
Keistimewaan Hikayat Panglima Nikosa (HPN), tulisan Ahmad Shawal bin Abdul Hamid yang dicetak di Bukit Persinggahan, Kuching, dipersetujui secara konsensus oleh para sarjana sebagai karya Sastera Melayu terawal yang menepati kualiti novel moden. Penerbitan karya ini melengkapi fasa perkembangan dan transisi Sastera Melayu Nusantara, iaitu daripada tradisi penyampaian lisan dan genre karya Melayu klasik kepada budaya penerbitan bercetak moden. Lebih membanggakan, beberapa penelitian turut mengiktiraf HPN sebagai antara karya Melayu yang hampir dengan cetusan perkembangan novel moden di benua Eropah dan Asia pada abad ke-19. Hal ini sekali gus meletakkan Sarawak dan Alam Melayu antara wilayah penting dalam perkembangan kesusasteraan dunia.
Tambah bermakna, para sarjana dan pakar berpandangan bahawa sumbangan Hikayat Panglima Nikosa tidak terbatas pada bidang kesusasteraan semata-mata. Naskhah agung ini turut merakamkan bukti kemajuan bahasa dan tulisan Jawi, evolusi teknologi percetakan awal, sejarah intelektual dan pemikiran, di samping corak kehidupan masyarakat Melayu Sarawak pada zamannya. Penerbitan naskhah ini secara langsung memperlihatkan kedudukan Sarawak sebagai salah sebuah wilayah penting dalam perkembangan awal penulisan moden dan teknologi percetakan Melayu di Nusantara.
Dalam mengapresiasi nilai khazanah sejarah, bahasa, budaya dan sastera yang setinggi itu, persidangan antarabangsa ini menjadi salah satu daripada tekad berterusan AKYBMS untuk memupuk dukungan, sambutan dan rasa bangga terhadap naskhah penting ini.
Persidangan kelak dijadualkan untuk dirasmikan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS. Penganjuran ini menyasarkan penyertaan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada para pakar, sarjana, penyelidik, mahasiswa, penggiat sastera, kurator manuskrip, pengamal budaya serta wakil institusi dari Malaysia dan antarabangsa.
AKYBMS sejak tahun 2014 beriltizam untuk terus mempergiat pelbagai inisiatif akademik, syarahan ilmiah, penyelidikan dan pementasan bagi memperkenalkan sekali gus memartabatkan naskhah agung Melayu, terutama Hikayat Panglima Nikosa, di persada kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam kesempatan yang sama, AKYBMS turut memperkenalkan dan mempromosikan Pakej Dewan Wisma Melayu Sarawak yang kini dibuka untuk tempahan bagi pelbagai penganjuran majlis dan acara, termasuk majlis perkahwinan, seminar, persidangan, program korporat serta acara rasmi. Kemudahan ini merupakan sebahagian daripada usaha AKYBMS memperluas fungsi Wisma Melayu Sarawak sebagai sebuah pusat kegiatan sosial, budaya dan korporat yang strategik di Kuching.
AKYBMS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media yang hadir serta memberikan sokongan dalam menjayakan sidang media pada hari ini. Kerjasama pihak media amat dihargai dalam membantu menyebarluaskan maklumat mengenai persidangan ini serta usaha-usaha AKYBMS dalam memartabatkan khazanah, budaya dan warisan Melayu Sarawak kepada masyarakat.
-TAMAT-

Kongsi berita ini