KUCHING, 13 Ogos 2026 – Satu sesi temuduga dan penilaian bagi pemilihan calon-calon panel perkhidmatan Dewan Wisma Melayu Sarawak telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Wisma Melayu Sarawak. Sesi ini melibatkan tiga kategori perkhidmatan utama, iaitu audiovisual dan pencahayaan (lighting), katering, serta pelamin dan dekorasi.
Seramai 15 orang kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah terlibat dalam pelaksanaan sesi tersebut, manakala tiga orang juri jemputan turut hadir bagi menjalankan proses temuduga dan penilaian terhadap calon-calon panel yang mengambil bahagian.
Penilaian dibuat berdasarkan latar belakang syarikat, pengalaman, keupayaan menyediakan perkhidmatan, kualiti tawaran serta kesesuaian calon untuk dilantik sebagai panel rasmi Dewan Wisma Melayu Sarawak. Proses ini merupakan antara langkah pihak pengurusan dalam memastikan setiap panel yang dipilih mampu menawarkan perkhidmatan yang berkualiti, profesional dan memenuhi keperluan penganjuran pelbagai majlis serta program di Dewan Wisma Melayu Sarawak.





