KASIH DIHULUR, MENJALIN MUHIBAH – Ihya Ramadan AKYBMS 1443H

SEBUYAU, 13 April – Bertekad untuk menjalin muhibah dan menyebarkan nilai-nilai kasih sayang dalam Islam, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) meneruskan gerak kerja agihan sumbangan makanan ke tiga buah kampung yang seterusnya.
Episod jelajah Ihya Ramadan AKYBMS 1443H pada hari kedua diteruskan di tiga buah perkampungan Melayu pesisir iaitu di Kampung Gumpey, Kampung Sebangan Sampat dan Kampung Tebelu.
Penyerarahan sumbangan kepada wakil penduduk
Rasa kasih dan simpati tertumpah dengan kehadiran sebilangan asnaf yang turut hadir menyaksikan acara simbolik penyerahan sumbangan melalui Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan JKKK masing-masing.
Bahang cuaca yang panas mengiringi derap perjalanan krew AKYBMS yang menyusuri jalan-jalan ke destinasi tersebut.
Pastinya setiap daripada kami dipagut rasa terharu tatkala ada di antara golongan asnaf yang tanpa segan silu menitiskan air mata saat menerima sumbangan yang tidak seberapa daripada pihak AKYBMS.
Kakitangan AKYBMS sempat bertemu mesra dengan penduduk sebelum agihan bakul makanan
Siri jelajah kedua telah menyediakan sebanyak 88 buah bakul makanan bersama dengan pek beras 10kg untuk tujuan agihan.
Semoga inisiatif murni ini akan dapat dilaksanakan di lebih banyak kawasan lain lagi pada masa yang akan datang.
Salam Ramadan 1443H daripada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi LPA AKYBMS dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) serta kakitangan pengurusan AKYBMS.
Ramadan Kareem,
“SAMAkasih, SAMArasa.”

Kongsi berita ini