Azan Pertama Berkumandang di Wisma Melayu Sarawak

KUCHING, 7 Julai 2026 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah mengadakan Majlis Doa Selamat di Surau Wisma Melayu Sarawak bersama para pelajar dan guru daripada Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah, Kampung Selang.
Majlis ini turut mencatatkan detik bersejarah apabila laungan azan berkumandang buat pertama kalinya di Wisma Melayu Sarawak, menandakan bermulanya pengimarahan institusi tersebut sebagai sebuah pusat yang bukan sahaja memartabatkan warisan dan budaya Melayu Sarawak, malah turut menjadi wadah pengukuhan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.
Alhamdulillah, majlis berlangsung dengan lancar dalam suasana penuh kesyukuran dan keberkatan. Selain bacaan doa selamat, para hadirin turut bersama-sama mengadakan solat berjemaah serta mengeratkan silaturahim.
Semoga Wisma Melayu Sarawak terus menjadi pusat pemerkasaan ilmu, budaya dan pembangunan masyarakat Melayu Sarawak, serta sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Kongsi berita ini