Pada 16 Jun 2026, Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS telah mengadakan dua kunjungan berasingan bagi menerima sumbangan untuk koleksi Muzium Melayu Sarawak.
Kunjungan pertama diadakan ke pejabat Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Hamid bin Bugo, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak. Dalam kunjungan tersebut, beliau telah menyumbangkan beberapa helai kain songket warisan, naskhah Al-Quran serta buku-buku daripada koleksi peribadi beliau untuk tujuan pemuliharaan, dokumentasi dan pameran di Muzium Melayu Sarawak.
Kunjungan kedua pula diadakan di kediaman Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah, Sasterawan Negeri Sarawak dan Tokoh Pendidikan Kebangsaan. Beliau telah menyumbangkan koleksi buku-buku peribadi yang mempunyai nilai ilmu, sejarah dan budaya untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi Muzium Melayu Sarawak. Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Puan Dayang Mariana binti Haji Abang Bolhassan, Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
AKYBMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Hamid bin Bugo serta Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah atas sumbangan yang amat bermakna ini. Sumbangan tersebut bukan sahaja memperkayakan koleksi Muzium Melayu Sarawak, malah turut membantu usaha memelihara warisan, sejarah dan khazanah intelektual masyarakat Melayu Sarawak untuk generasi akan datang.
Orang ramai yang mempunyai artifak, dokumen, gambar lama atau bahan berkaitan sejarah dan budaya Melayu Sarawak dialu-alukan untuk menghubungi pihak AKYBMS bagi tujuan pemuliharaan dan dokumentasi warisan bersama. 





