KUCHING, 25 Julai 2026 – Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yassin Wisma Melayu Sarawak buat kali kedua telah berlangsung dengan penuh tertib pada 25 Julai 2026 bertempat di Wisma Melayu Sarawak.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji Wahbi bin Haji Junaidi, yang turut memimpin bacaan Yasin dan doa selamat sempena prapembukaan Wisma Melayu Sarawak. Bacaan doa diadakan bagi memohon keberkatan, keselamatan serta kelancaran segala urusan menjelang pembukaan rasmi bangunan berkenaan.
Turut hadir ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Wan Ali bin Tuanku Madhi, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), kakitangan NAIM, kakitangan PU Architects, para pelajar Maahad Tahfiz Kampung Selang, kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), serta para tetamu jemputan.
Penganjuran majlis kali kedua ini turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan Wisma Melayu Sarawak, rakan strategik, institusi pendidikan dan masyarakat, di samping menzahirkan rasa syukur atas kelancaran pembangunan Wisma Melayu Sarawak.





