⚜️KPMIC 2026 SIRI III : SMK SUNDAR, LAWAS⚜️

LAWAS, 25 Julai 2025 – Kursus Pelajar Melayu Islam Cemerlang (KPMIC) 2026 Siri III anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah berlangsung dengan jayanya pada 25 Julai 2025 bertempat di SMK Sundar, Lawas. Program tersebut melibatkan penyertaan seramai 78 orang pelajar yang mengikuti pelbagai pengisian dan aktiviti pembangunan diri sepanjang program berlangsung.
Program ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha AKYBMS dalam memberikan pendedahan, bimbingan serta motivasi kepada para pelajar Melayu Islam agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, pembentukan sahsiah dan pembangunan potensi diri. Melalui pengisian yang disediakan, para peserta turut digalakkan untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan.
Program tersebut diketuai oleh Encik Wan Mohd Irfan bin Wan Zamhari, Ketua Unit Pendidikan, Agama dan Sosial AKYBMS, yang juga bertindak sebagai penyelaras program. Beliau telah dibantu oleh Encik Mohd Amirul Rashid bin Abdullah, Ketua Bahagian Program AKYBMS, Puan Iszaliana binti Majelan @ Mazlan serta Cik Noralla binti Hamdan, kakitangan AKYBMS.
KPMIC 2026 Siri III turut menampilkan Encik Azuan bin Jemat dan Encik Qhidir bin Mat Isa sebagai penceramah jemputan. Kedua-dua penceramah telah berkongsi ilmu, pengalaman dan panduan yang bermanfaat kepada para peserta, khususnya dalam usaha membentuk pelajar yang berilmu, berdisiplin, berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Majlis penangguhan program tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Awangku Rosmafilana bin Awangku Marusin, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Lawas. Turut hadir ialah Yang Berusaha Puan Samdiah binti Damit, Penolong Kanan SMK Sundar, Lawas, Encik Wan Mohd Irfan bin Wan Zamhari selaku Penyelaras Program KPMIC, para guru serta peserta KPMIC SMK Sundar 2026.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberikan pengalaman dan manfaat yang bermakna kepada semua peserta, di samping menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi pelajar Melayu Islam yang cemerlang, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.

Kongsi berita ini