⚜️ KUNJUNGAN HORMAT KE RUMAH PENULIS TERSOHOR SARAWAK ⚜️

Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah mengadakan kunjungan hormat ke kediaman Hajah Bibi Sabariah binti Haji Abang Awet, seorang penulis tersohor Sarawak yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan sastera tanah air. Beliau juga merupakan penulis novel KOMSAS Bahasa Melayu Tingkatan 5 bertajuk Tirani yang digunakan dalam silibus pendidikan negara.
Kunjungan ini turut dihadiri oleh wakil Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS iaitu Cik Zafirah binti Othman dan Encik Mohd Harith bin Heykal. Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan bermakna sambil bertukar pandangan mengenai perkembangan sastera, penulisan serta usaha memartabatkan warisan intelektual Melayu Sarawak.
Pihak AKYBMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Hajah Bibi Sabariah atas sumbangan buku-buku beliau kepada Perpustakaan Wisma Melayu Sarawak. Sumbangan ini amat bernilai dalam memperkaya koleksi rujukan dan khazanah ilmu untuk manfaat penyelidik, pelajar serta masyarakat umum.
Sehubungan itu, pihak AKYBMS amat mengalu-alukan individu, penulis, penerbit mahupun mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang bahan bacaan, buku ilmiah, karya sastera dan dokumentasi berkaitan warisan Melayu Sarawak kepada Perpustakaan Wisma Melayu Sarawak. Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi pihak AKYBMS.
Semoga usaha memperkasa budaya ilmu dan pemeliharaan warisan persuratan Melayu Sarawak ini akan terus berkembang demi generasi akan datang.

Kongsi berita ini