Sanib Said diangkat sebagai Tokoh NGO – Sejarah di Anugerah Perdana NGO Malaysia 2022

Kuala Lumpur – Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), YBhg Datu Dr Haji Sanib bin Haji Said telah diangkat sebagai Tokoh NGO – Sejarah bersempena Majlis Perasmian Persidangan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia dan Pelancaran Anugerah Perdana NGO Malaysia 2022.
 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri semasa Majlis Makan Malam yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

YAB PM bergambar bersama penerima Anugerah NGO Perdana 2022 – Kredit gambar pemilik asal
 
Dalam majlis yang telah dihadiri oleh peserta yang mewakili 588 NGO yang telah didaftarkan di bawah Gabungan NGO Keluarga Malaysia ini, Anugerah Perdana NGO Malaysia telah disampaikan kepada beberapa tokoh NGO mengikut bidang seperti Tokoh NGO Pesara, Tokoh NGO Perpaduan dan Tokoh NGO Kepenggunaan.
 
Di majlis sama, Perdana Menteri menyatakan sokongan kepada usaha penganjuran Anugerah NGO Malaysia 2022. “Saya menyambut baik usaha untuk memperkenalkan anugerah ini bagi mengiktiraf kerja-kerja kebajikan dan sosial yang dilakukan NGO sepanjang tahun ini.” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Gambar kenangan Datu Dr Sanib Said bersama YAB PM – Kredit gambar pemilik asal
 
AKYBMS melahirkan rasa bangga atas perhargaan yang telah diberikan kepada Datu Dr Sanib Said yang telah menjadi wakil dari negeri Sarawak Darul Hana. Anugerah ini membuktikan perjuangan dan hasil penyelidikan beliau dalam bidang sejarah dipandang tinggi serta diiktiraf oleh masyarakat.
Sijil Penghargaan Khas sebagai Tokoh NGO – Sejarah

Kongsi berita ini