SAMAhaul ke-72 Rosli Dhoby dan Rukun 13

2 Mac 2022, KUCHING: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) mengadakan Majlis SAMAhaul ke-72 Rosli Dhoby dan Rukun 13 bertempat di Surau AKYBMS, Kuching hari ini.

Majlis yang berskala kecil itu telah dihadiri oleh Datuk Dr. Haji Wahbi bin Haji Junaidi, Pengerusi Jawatankuasa Agama AKYBMS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS; Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS; Haji Ismail bin Haji Damit, Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Jati Lawas di Kuching (JATI); Samsol bin Morshidi Bujang, Setiausaha Agung Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS); Ustaz Mohamad Kharizul bin Mohamed Packir, Mantan YDP Persatuan Mahasiswa Sarawak UM (PMSUM) 2011/2012, Haji Haziq, ahli PEKASA; bekas pelatih dan GETS dan kakitangan AKYBMS.

Datuk Dr. Wahbi dalam ucapan ringkas menekankan peri pentingnya keikhlasan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Namun, setiap tindakan, perbuatan, diniatkan sepenuhnya kepada Allah SWT dan perlu bersandarkan kepada kepercayaan dan keimanan teguh kepada Allah dan Rasulullah serta Rukun Iman.

Beliau turut mengingatkan agar semangat dan contoh pengorbanan yang ditunjukkan oleh as-Syahid Rosli Dhoby dan Tiga Rakan Rukun 13 dalam menjunjung seruan syahid mempertahankan tanah air daripada golongan kafir.

“Semangat inilah yang perlu kekal dan diniatkan agar terus subur dalam jiwa sanubari setiap anak Melayu Sarawak,” tambah Datuk Dr. Wahbi.

Terdahulu, Datu Dr. Sanib dalam ucapan alu-aluan menyifatkan bahawa semakin ramai yang kian pudar semangat jihad dalam memperjuangkan bangsa.

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan bahawa selagi AKYBMS ada, perjuangan ini akan tetap diteruskan dan menjadi teras utama sebagai pembela Melayu Sarawak.

“Biarlah sedikit, namun kuat semangat. Dahulu, golongan ini pun kecil. Tiga belas orang saja yang berani dan teguh semangat demi Melayu, sik maok dijajah lagik. Dan sekarang, walaupun sedikit kita mesti kuat dan terus semangat memperjuangkan Melayu Sarawak,” ujar Datu Dr. Sanib.

AKYBMS dalam usaha mengenang dan memperingati jerih-perih perjuangan nasionalisme Melayu telah mengadakan bacaan Yasin dan Tahlil khas buat para syuhada Rosli Dhoby, Abang Ramli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntung.

Program tersebut telah diadakan sejak tahun 2015 sebagai praacara dalam SAMAceramah 2022: Syarahan Rosli Dhoby dan Rukun 13 yang diadakan bersempena haul ke-72 mereka.

Kongsi berita ini