PERTANDINGAN BERTUNTUNG DAN LAMPU CABIK MERIAHKAN KEJIRANAN MESRA N4 PANTAI DAMAI

Tarikh: 26 hingga 27 Mac 2025
Lokasi: 14 Kampung terlibat
PANTAI DAMAI, 28 Mac 2025 – Pertandingan Bertuntung dan Lampu Cabik anjuran Kejiranan Mesra (KJM) N4 Pantai Damai berlangsung meriah pada 26 hingga 27 Mac 2025 dengan penyertaan daripada 14 lokasi, melibatkan 28 rumah.
Bertuntong merupakan tradisi malam tujuh likur yang dapat menghimpunkan keluarga dan jiran berkumpul di halaman rumah dan sekitar kampung untuk menyalakan pelita, menjadikan kampung kelihatan berkilauan dan penuh semangat kekeluargaan.
KJM Demak Baru telah diberi amanah oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menguruskan program ini dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS). Program ini bertujuan untuk menghidupkan semula tradisi turun-temurun serta memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk.
Sepanjang pertandingan, peserta mempamerkan kreativiti dalam menghias rumah dan menghasilkan lampu cabik yang unik, mencerminkan keindahan warisan budaya Melayu Sarawak. Sambutan hangat daripada penduduk setempat menambah lagi kemeriahan acara ini, menjadikannya sebagai satu platform untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Pertandingan ini terbuka kepada semua rumah di kawasan KJM N4 Pantai Damai, DUN N4 Pantai Damai. Juara pertandingan di peringkat KJM akan secara automatik mewakili KJM masing-masing untuk bertanding di peringkat DUN.
Seiring dengan peredaran zaman, deretan pelita tradisional yang dinyalakan menggunakan minyak tanah kini diganti dengan lampu LED yang lebih jimat dan mudah dipasang. Walaupun zaman berubah, malam tujuh likur ini terus berseri dengan tradisi bertuntong yang membangkitkan semangat Hari Raya yang ceria dan indah. Pertandingan ini diharapkan dapat terus menjadi acara tahunan yang memperkukuhkan semangat perpaduan serta mengekalkan adat dan budaya tradisional bagi generasi akan datang.

Kongsi berita ini