Menjulang Warisan Sarawak: Kunjungan Hormat AKYBMS kepada TYT

28 Mei 2025 (Rabu) – Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, telah mengadakan kunjungan hormat ke kediaman Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bagi membincangkan pelaksanaan Projek Buku Sejarah Sarawak yang sedang diusahakan oleh pihak AKYBMS.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mempersembahkan perkembangan semasa dan hala tuju projek yang merupakan inisiatif strategik AKYBMS dalam usaha memelihara, mendokumentasikan dan menyebarluaskan sejarah serta warisan negeri Sarawak secara sistematik dan berwibawa.
Dalam sesi perbincangan itu, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh pihak AKYBMS serta disambut dengan penuh perhatian oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Antara fokus utama yang diketengahkan termasuklah keperluan memastikan kandungan buku sejarah tersebut merangkumi naratif yang menyeluruh, sahih dan inklusif, mencakupi aspek sosioekonomi, politik, dan serta peranan pemimpin-pemimpin melayu di Sarawak.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Dr. Emyzul bin Ismail, Encik Azuan bin Jemat dan Encik Norazam bin Azni Shah yang masing-masing terlibat secara langsung dalam pengurusan dan penyelidikan Projek Buku Sejarah Sarawak.
Projek Buku Sejarah Sarawak ini dijangka menjadi sebuah dokumen penting yang bukan sahaja memperkukuh kesedaran sejarah dalam kalangan masyarakat, malah memperkasa identiti negeri Sarawak sebagai sebuah wilayah yang kaya dengan warisan, perjuangan dan pencapaian pelbagai lapisan masyarakat sepanjang sejarahnya.

Kongsi berita ini