KUCHING, 23 April 2025 – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi, telah berkenan menghadiri Majlis SAMArindok Aidilfitri anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) bagi tahun 1446H/2025M yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic, Kuching.
Ketibaan TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan pada jam 8.00 malam disambut meriah oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan dan isteri, YBhg. Dato Hajah Morliah binti Datuk Haji Awang Daud, bersama barisan ahli Lembaga AKYBMS yang lengkap berbusana tradisional Melayu. Paluan kompang turut mengiringi ketibaan para dif kenamaan yang hadir ke majlis.
TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan serta YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Johari Tun Datuk Abang Haji Openg dan YABhg. Datuk Amar Hajah Juma’ani binti Tuanku Haji Bujang, turut meluangkan masa melawat Pameran AKYBMS bertemakan “Warisan Melayu Sarawak” yang dikurasikan oleh YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Cik Zafirah binti Othman dan Encik Mohd Danny bin Zulkifli.
Majlis telah diserikan dengan pelbagai persembahan menarik, antaranya tarian tradisional oleh Artis Budaya Badan Seni AKYBMS, persembahan pencak silat daripada Perguruan Seni Silat Asli Zamrud, tayangan multimedia yang memaparkan aktiviti AKYBMS bagi tahun 2024–2025, serta nyanyian oleh Encik Farizul Jamaluddin, Fifi Rozilawaty, Hijrah Yahya, dan syair “Negeri Santubong dan Banting” oleh Encik Fauzan Iz’aan. Turut memeriahkan majlis ialah persembahan istimewa daripada Bob Yusof. Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa seperti hamper, telefon bimbit, perkakas elektronik, gajet dan pelbagai lagi.
Sebagai simbolik perasmian, TYT Tun Pehin Sri telah menurunkan tandatangan pada skrol khas. Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Johari Tun Datuk Abang Haji Openg dan isteri, YABhg. Datuk Amar Hajah Juma’ani binti Tuanku Haji Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohd. Asfia bin Awang Nasar dan isteri; serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki dan isteri.
Turut memeriahkan majlis ialah menteri-menteri kabinet negeri, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ahli-ahli Lembaga AKYBMS serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Amar Awang Tengah serta seluruh warga AKYBMS atas jemputan dan layanan mesra yang diberikan.
TYT Tun Pehin Sri turut mendoakan kejayaan berterusan AKYBMS dalam memartabatkan budaya Melayu Sarawak serta memperkukuh identiti bangsa Melayu di negeri ini.
Encik Mohd Amirul Rashid bin Abdullah, Pengerusi Program SAMArindok Aidilfitri 1446H/2025M mewakili semua kakitangan AKYBMS turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 1446H/2025M.