Majlis Penyerahan Tapak Pembinaan Wisma Melayu Sarawak – Mercu Tanda Melayu Sarawak

YB Datuk Amar Pengerusi AKYBM hadir ke Majlis Penyerahan Tapak Wisma Melayu Sarawak

Kuching – Majlis Penyerahan Tapak Pembinaan Wisma Melayu Sarawakmenjadi titik permulaan kepada projek pembinaan mercu tanda Melayu Sarawak.

Majlis yang telah dihadiri oleh YB Datuk Haji Amar Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) AKYBMS ini telah berlangsung di Tapak Pembinaan Wisma Melayu Sarawak, Jalan Diplomatik. Turut Hadir, YBhg Datuk Hj Mohd Naroden bin Hj. Majais, Timbalan Pengerusi LPA AKYBMS, Ahli-ahli Lembaga AKYBMS, wakil kontraktor, wakil konsultan, rakan-rakan strategik AKYBMS dan pengamal media.
“Setelah tertangguh akibat pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19 yang melanda, Alhamdulillah, pembinaan Wisma Melayu Sarawak ini akan dimulakan oleh pihak kontraktor yang telah dilantik oleh Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak iaitu Naim Engineering Sdn Bhd” – YB Datuk Amar Haji Awang Tengah menyatakan bahawa projek yang akan mengambil masa 30 bulan ini dianugerahkan kepada kontraktor yang telah dipilih iaitu Naim Engineering Sdn Bhd.
YB Datuk Amar Haji Awang Tengah menyampaikan ucapan ringkas
Majlis telah menyaksikan penyerahan tapak yang telah disempurnakan oleh YBhg Datu Dr Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS sebagai wakil AKYBMS. Dalam acara tersebut, beliau menyerahkan surat penyerahan tapak kepada wakil Naim Engineering Sdn Bhd iaitu Encik Faisal Ahmad Zaidin, Timbalan Ketua Pegawai Operasi (Pembinaan). Acara ini turut disaksikan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah dan semua dif-dif kenamaan yang hadir.
YBhg Datu Dr Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS menyerahkan surat penyerahan tapak kepada wakil Naim Engineering Sdn Bhd
Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak telah disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr.) Hj. Abang Zohari Abdul Rahman bin Tun Abang Openg di Jalan Diplomatik, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 10 Disember 2020.
Bangunan yang akan dibina di atas sebahagian sebidang tanah seluas 6.5 ekar ini bakal dilengkapi dengan pelabagai jenis kemudahan termasuk dewan serba guna berkapasiti 2000 orang, bilik seminar, pejabat pentadbiran AKYBMS, ruang aktiviti terbuka, surau,cafe dan galeri sejarah Melayu Sarawak.
Sekian, terima kasih.

Kongsi berita ini