MAJLIS PECAH TANAH WISMA MELAYU SARAWAK

Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah melakar sejarah yang sangat signifikan dengan menjayakan Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak semperna dengan pembinaan Wisma Melayu Sarawak yang dijadualkan akan bermula pada awal tahun 2021. Majlis tersebut telah dihadiri oleh YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak Ketua Menteri Sarawak serta isteri Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Ketua Menteri Sarawak merakamkan gambar setelah menyempurnakan gimik pelancaran

Majlis yang telah dihadiri seramai 250 orang tetamu ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Datuk Haji Mohd. Naroden bin Haji Majais, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak dan diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan yang turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak satu juta setiap seorang daripada Datuk Amar Hamid Sepawi, Pengerusi Naim Holding Berhad dan Datuk Hasmi Hasnan, Pengarah Pengurusan Naim Holding Berhad

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh tetamu kehormat iaitu YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari yang seterusnya melancarkan gimik perasmian untuk melambangkan permulaan pembinaan Wisma Melayu Sarawak yang bakal menjadi mercu tanda baru untuk masyarakat Melayu Sarawak.

Lawatan ke pameran Wisma Melayu Sarawak sebelum bergerak ke pentas utama

Wisma Melayu Sarawak yang merupakan cetusan idea daripada Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi (Dr) Adenan Satem selaku mantan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) AKYBMS bakal dibina di Jalan Diplomatik, Petra Jaya. Bangunan yang diilhamkan melalui rekabentuk tengkolok ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, pejabat pentadbiran, bilik seminar, ruang terbuka, taman lanskap, galeri sejarah dan budaya Melayu serta surau yang akan dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu Sarawak untuk pelbagai jenis aktiviti.

Turut hadir pada majlis tersebut termasuklah Speaker DUN Datuk Amar Mohammad Asfia bin Haji Awang Nasar, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), YB Datuk Haji Talib bin Zulpilip, semua Ahli – ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan ramai kenamaan Melayu Sarawak.

Penyampaian cenderamata kepada YAB Ketua Menteri

Kongsi berita ini