KUNJUNGAN HORMAT PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN TERENGGANU KE WISMA MELAYU SARAWAK

KUCHING, 3 September 2026 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat, Wisma Melayu Sarawak.
Rombongan tersebut telah disambut mesra oleh YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS, bersama kakitangan AKYBMS.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Datu Pengurus Besar telah menyampaikan ucapan alu-aluan kepada rombongan serta memperkenalkan latar belakang, peranan dan usaha AKYBMS dalam memelihara, mengembangkan dan mengetengahkan sejarah serta warisan Melayu Sarawak.
YBhg. Datu turut berkongsi penerangan mengenai sejarah “Negeri-Negeri yang Hilang di Sarawak”, sekali gus memberikan gambaran mengenai perkembangan sejarah dan perubahan wilayah Sarawak yang mempunyai kaitan penting dengan pembentukan landskap politik dan sejarah negeri ini.
Kunjungan hormat tersebut turut menjadi ruang pertukaran pandangan dan perkongsian ilmu dalam bidang sejarah, di samping mengeratkan hubungan antara AKYBMS dengan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu serta membuka peluang kepada kerjasama yang lebih erat dalam usaha penyelidikan, pendokumentasian dan pemeliharaan warisan sejarah pada masa akan datang.

Kongsi berita ini