Dana Penggerak Industri Buku Negara

Kuching, 20 Julai 2024 – Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada penerbit agensi awam dan swasta,penulis dan persatuan penulis Sarawak telah menghadiri Taklimat Dana Penggerak Industri Buku Negara yang diadakan pada hari ini, bertempat di DBP Cawangan Sarawak.
Taklimat yang bertujuan untuk memberikan penerangan tentang Dana Penggerak Industri Buku Negara itu telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Puan Sylee Riza Arif.
Dana Penggerak Industri Buku Negara ini merupakan antara langkah penting kerajaan dalam memastikan pembangunan dan perkembangan industri buku negara, antara lainnya turut bertujuan untuk meningkatkan jumlah penerbitan buku fiksyen dan bukan fiksyen karya asli dan terjemahan dalam pelbagai bidang.
Selain taklimat tentang dana tersebut, para peserta turut diterangkan tentang penerbitan buku kanak-kanak dan remaja dalam sesi taklimat oleh Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Noriyani Yusoff. Penyampaian ini bersesuaian dengan fokus Dasar Buku Negara semasa yang berhasrat menggerakkan penerbitan buku kanak-kanak dalam usaha memperkukuh budaya membaca golongan itu.
Sesi terakhir taklimat tersebut telah disampaikan oleh Puan Norhanifah Mohamed, Ketua Bahagian Harta Intelek.
Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dalam ucapan perasmiannya berharap agar penerbit, penulis dan persatuan penulis di Sarawak dapat mengambil peluang terhadap dana yang cukup bermanfaat ini.
Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja akan menyemarakkan lagi industri perbukuan di Sarawak, bahkan akan mewujudkan lebih banyak ruang pekerjaan dalam industri penerbitan tempatan serta menjadi platform kepada para penerbit, penulis dan persatuan penulis untuk memainkan peranan sebagai penggerak utama industri buku negara.
Ihsan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kongsi berita ini