Amazing Race For Kids Bertemakan Mencari Tradisi Yang Hilang

KUCHING, 23 Februari 2025 – Program Anakku Sayang: Amazing Race for Kids bertemakan Mencari Tradisi yang Hilang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Sonan Bonang dan sekitar Kampung Demak Baru, Kuching. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kejiranan Mesra (KJM) Kampung Demak Baru dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai warisan budaya serta tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang semakin dilupakan. Berkonsepkan perlumbaan berhalangan (Amazing Race), peserta diuji dengan pelbagai cabaran dan permainan yang berasaskan elemen budaya serta adat resam yang unik.
Antara permainan yang diketengahkan termasuklah pertandingan mewarna, mengenali huruf jawi, musang berjanggut, melastik, menganyam ketupat, membuat kuih penyaram, dan e-kuiz Melayu Sarawak. Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS terlibat dalam penganjuran aktiviti ini, di mana mereka telah melaksanakan tugasan di Checkpoint 6, iaitu e-kuiz Melayu Sarawak untuk peserta serta mengendalikan mini Booth Pameran Melayu Sarawak sepanjang aktiviti berlangsung.

Kongsi berita ini