AKYBMS berbusana Melayu meraikan semangat ‘Mat Kilau’

KUCHING 21 Julai – Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), YBhg. Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said bersama kakitangan AKYBMS serta keluarga telah menyaksikan tayangan filem Mat Kilau di panggung GSC CityOne Megamall pada 19 Julai 2022. Pengerusi Jawatankuasa Budaya dan Kesenian Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, YBhg. Datuk Haji Wahab bin Abdul Aziz turut hadir bersama bagi menyaksikan tayangan yang menjadi perhatian seluruh Malaysia itu.

YBhg Pengurus Besar berada di perkarangan pawagam sebelum tayangan bermula

Tayangan filem yang bermula pada pukul 8.00 malam itu telah dihadiri oleh 107 orang penonton. Kesemua yang hadir mengenakan busana dan pakaian tradisional Melayu Sarawak, iaitu berbaju Melayu, bersongket, dan bertengkolok atau bersongkok bagi yang lelaki dan berbaju kurung dan berkoyok (berselempang) sarung songket di bahu bagi wanita.

Peserta menunggu tayangan bermula

“Kita boleh mengambil teladan daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan rakan-rakan yang mempertahankan agama, bangsa, dan tanah airnya,” YBhg. Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said berkata. Sememangnya, tayangan filem Mat Kilau mampu meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan kakitangan AKYBMS.

Gambar kenang-kenangan bersama tetamu istimewa

Kongsi berita ini