⚜️KONVENSYEN GRADUAN MELAYU SARAWAK 2.0 2026⚜️

KUCHING, 11 Jun 2026 – Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2.0 Tahun 2026 bertemakan “Harapan dan Realiti Sarawak Maju 2030” telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Kuching.
Program anjuran Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) itu telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Annuar bin Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, mewakili Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi ucaptama oleh YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), yang menyentuh peranan graduan Melayu Sarawak dalam memperkukuh pembangunan masyarakat dan negeri ke arah merealisasikan aspirasi Sarawak Maju 2030.
Konvensyen diteruskan dengan sesi Bicara Ekonomi yang menampilkan Dr. Dzul Hadzwan Husaini, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sebagai pemakalah pertama. Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Awang Moslem bin Awang Annuar selaku moderator dan membincangkan cabaran serta peluang pembangunan ekonomi yang mampu memperkukuh kedudukan masyarakat Melayu dalam landskap ekonomi negeri.
Sesi kedua, Bicara Pendidikan, menampilkan Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad sebagai panel utama dengan Dr. Abang Ismail bin Abang Julhi bertindak sebagai moderator. Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, kecemerlangan pendidikan serta persediaan generasi muda menghadapi cabaran masa hadapan.
Konvensyen kemudiannya diteruskan dengan Bicara Politik yang disampaikan oleh Datuk Profesor Kolonel (K) Dr. Awang Azman bin Awang Pawi. Sesi tersebut dikendalikan oleh Ir. Ts. Haji Syed Hossin bin Haji Wan Hamit sebagai moderator dan membincangkan peranan kepimpinan, tadbir urus serta penglibatan graduan dalam pembangunan politik dan kenegaraan.
Sementara itu, sesi keempat iaitu Bicara Sosial menampilkan Dato Dr. Haji Wan Ali Tuanku Madhi yang mengupas isu-isu sosial semasa berkaitan masyarakat Melayu Sarawak, termasuk aspek pembangunan komuniti, kesejahteraan sosial dan pemerkasaan institusi masyarakat.
Sebagai kemuncak program, sesi Pembentangan Resolusi Konvensyen telah diadakan bagi merumuskan pandangan, cadangan dan aspirasi yang dikemukakan sepanjang konvensyen berlangsung. Resolusi yang dibentangkan dijangka menjadi panduan dalam memperkukuh agenda pembangunan masyarakat Melayu Sarawak pada masa hadapan.
Majlis penangguhan Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2.0 Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Fazruddin bin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tupong, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak bagi menyampaikan ucapan penangguhan konvensyen tersebut.
Penganjuran Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2.0 Tahun 2026 dilihat berjaya menjadi wadah perbincangan strategik yang menghimpunkan golongan akademik, profesional, pemimpin masyarakat dan graduan dalam memperkukuh peranan masyarakat Melayu Sarawak terhadap agenda pembangunan negeri, sejajar dengan aspirasi Sarawak Maju 2030

Kongsi berita ini