Bengkel Tarian Melayu Sarawak 2026

KUCHING, 15 NOVEMBER 2026 – Alhamdulillah, Bengkel Tarian Melayu Sarawak 2026 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah berjaya dilaksanakan selama dua hari, bermula pada 14 hingga 15 November 2026 bertempat di Wisma Melayu Sarawak, Kuching.
Bengkel ini telah mendapat penyertaan daripada lima buah sekolah dengan bimbingan dua orang tenaga pengajar jemputan yang berpengalaman dalam bidang tarian tradisional Melayu Sarawak, iaitu Encik Othman Hassan dan Puan Masniah Bojeng. Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada teknik asas, gerak tari serta keunikan seni persembahan tarian tradisional Melayu Sarawak.
Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu usaha berterusan AKYBMS dalam memelihara dan memartabatkan warisan seni budaya Melayu Sarawak. Pada masa yang sama, bengkel ini turut menjadi platform untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat pelapis muda yang berpotensi untuk dibimbing serta diasah kemahiran mereka dalam bidang tarian tradisional Melayu Sarawak.
Majlis penangguhan bengkel telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Amirul Akbar bin Osman, selaku wakil Pengurus Besar AKYBMS. Majlis turut diserikan dengan kehadiran pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan serta guru-guru pengiring daripada sekolah-sekolah yang terlibat.
AKYBMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan bengkel ini, khususnya para tenaga pengajar, pihak sekolah, guru-guru serta para peserta yang menunjukkan komitmen dan semangat sepanjang program berlangsung.
Semoga penganjuran bengkel seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi pelapis yang berkemahiran, berkeyakinan dan berjiwa seni dalam memastikan warisan tarian Melayu Sarawak terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.

Kongsi berita ini