KUCHING, 11 NOVEMBER 2026 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) melakar satu lagi detik bersejarah menerusi Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak yang telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah binti Mohd Sanusi serta kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, dan Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, bersama dif-dif kenamaan serta para jemputan.
Majlis dimulakan dengan persembahan Tarian Selamat Datang, diikuti bacaan doa, ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, tayangan montaj Wisma Melayu Sarawak serta amanat oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak.
Kemuncak majlis menyaksikan penyempurnaan gimik perasmian oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memartabatkan warisan, kebudayaan dan jati diri masyarakat Melayu Sarawak.
Perasmian ini turut membuka lembaran baharu buat AKYBMS dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi yang memperjuangkan dan melestarikan warisan Melayu Sarawak untuk generasi masa kini dan akan datang.





