PROGRAM “HERITAGE TRAILS TO WISMA MELAYU SARAWAK” DEKATKAN PELAJAR ANTARABANGSA DENGAN WARISAN MELAYU SARAWAK

KUCHING, 4 November 2026 – Wisma Melayu Sarawak telah menerima kunjungan rombongan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah menerusi program “Heritage Trails to Wisma Melayu Sarawak” anjuran UNIMAS Global, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Rombongan tersebut diketuai oleh Encik Muhd Ilham bersama-sama dua orang pegawai UNIMAS yang mengiringi para pelajar bagi mengenali dengan lebih dekat sejarah, seni, budaya serta kekayaan warisan masyarakat Melayu Sarawak.
Kunjungan tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), yang menyambut baik kehadiran rombongan serta inisiatif UNIMAS Global dalam memperkenalkan khazanah warisan Melayu Sarawak kepada para pelajar.
Sepanjang kunjungan tersebut, para pelajar turut mengikuti sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS. Sesi ini memberikan pendedahan mengenai asal usul, adat resam, kesenian, pakaian tradisional serta keunikan identiti masyarakat Melayu Sarawak yang terus diwarisi dan dipelihara sehingga kini.
Rombongan kemudiannya dibawa melawat Dewan Wisma Melayu Sarawak bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan dan ruang yang disediakan untuk penganjuran pelbagai majlis, program kebudayaan serta aktiviti kemasyarakatan. Lawatan ini turut memberikan gambaran mengenai peranan Wisma Melayu Sarawak sebagai pusat kegiatan yang menyokong usaha pemeliharaan dan pemartabatan warisan Melayu Sarawak.
Program ini juga menjadi platform pertukaran ilmu dan budaya, sekali gus membuka ruang kepada para pelajar untuk memahami kepelbagaian warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Sarawak.
AKYBMS amat mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini sebagai usaha memperkenalkan, memartabatkan dan melestarikan khazanah warisan Melayu Sarawak kepada generasi muda serta masyarakat antarabangsa

Kongsi berita ini