Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025

KUCHING, 21 Januari 2025 – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar berpendapat bahawa terdapat keperluan mendesak untuk kajian yang terperinci dan menyeluruh terhadap sistem perundangan Mahkamah Syariah di Sarawak. Menurut beliau, kajian ini adalah perlu bagi memastikan sistem Mahkamah Syariah dapat diperkukuh atau dimantapkan melalui pemerkasaan dalam bidang kuasa eksklusifnya untuk memberikan keadilan yang lebih efektif kepada masyarakat Islam.
Pada masa yang sama, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menekankan bahawa langkah tersebut perlu mengambil kira kerangka Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata, “Pendekatan itu bertujuan memastikan penyelesaian muktamad bagi isu-isu berkaitan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah tanpa perlu campur tangan Mahkamah Sivil.” Jelasnya lagi, ini akan menjadikan Mahkamah Syariah lebih relevan dan berwibawa dalam melaksanakan prinsip keadilan yang dianjurkan dalam ajaran Islam.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), yang bersama-sama kakitangan yayasan tersebut hadir untuk mendengar syarahan daripada negarawan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di di Dewan Majma, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kuching.

Kongsi berita ini