JEJAK WARISAN MELAYU SARAWAK: ⭐Makam Sultan Tengah⭐

⚜️Pada 11 Mac 1993, Kerajaan Negeri Sarawak mengisytiharkan penemuan sebuah makam tua di sebuah kawasan hutan berdekatan dengan simpang Jalan Damai, Santubong, Kuching. Makam tersebut merupakan makam Sultan Tengah Sultan Sarawak yang pertama dan terakhir.
⚜️Sebermula adapun seorang anak Marhum Tua (sebenarnya Sultan Muhamad Hasan) seorang bernama Raja Tengah, baginda gagah berani tiada berlawan serta dengan sekian barang kerjanya tiada bertentu, setelah dilihat oleh kekandanya Sultan Abdul Jalilul Jabar (sebenarnya Sultan Abdul Jalilul Akbar) maka bagindapun dukacita hendak dibuang tiada terbuang kerana tiada siapa dapat berlawan dengan dia itu. Hatta maka dipanggil kekanda baginda seraya titah baginda, “Hai saudaraku adapun hal kekanda ani sudahlah ditetapkan Allah menjadi Raja di dalam negeri Brunei, adindapun hendak kekanda rajakan maka suka hati kekanda kerana kita sama juga anak Marhum.”
⚜️Maka sembah Raja Tengah, “Ya Tuanku adapun patik ani hamba di Bawah Duli Tuanku, mana-mana titah patik junjung. ”Tiada ia tahu akan dirinya hendak dikeluarkan dari negeri Brunei. Setelah demikian maka titah kekanda baginda, “Jikalau demikian baiklah adinda kekanda rajakan di Sarawak dan baik bawa adinda Sakai seribu akan teman adinda.” Maka sembah Raja Tengah, “Mana-mana titah patik junjung”.
⚜️Islam dipercayai telah mula bertapak di Sarawak selewat-lewatnya pada kurun ke-16 Masehi lagi melalui pengaruh Kesultanan Melayu Brunei Darussalam berdasarkan catatan bertulis seperti di atas. Pertabalan Sultan Tengah sebagai Sultan Sarawak Darul Hana (dengan gelaran Sultan Ibrahim Ali Omar Shah) pada tahun 1599 Masehi dianggap sebagai detik rasmi bertapaknya Islam di Sarawak.
⚜️Sultan Tengah juga dikenali sebagai seorang sultan yang suka mengembara dan berdakwah seperti mana dicatatkan dalam pengembaraannya ke Johor, Sukadana, Sambas dan Matan (al-Sufri 1998). Secara khususnya, kedatangan Islam di Brunei amat berkait rapat dengan kedatangan Islam ke Sarawak (Juanda 2003).
⚜️Bahkan menurut Sanib Said (1980: 182), Kesultanan Brunei adalah pihak yang paling berpengaruh dalam mengembangkan agama Islam di Sarawak. Anggapan ini dibuat kerana Sarawak adalah sebahagian daripada wilayah Brunei sebelum kedatangan penjajah Eropah. Sebelum kemerdekaan di dalam Malaysia dan kedatangan penjajah Eropah, keseluruhan negeri Sarawak berada di bawah pentadbiran Kesultanan Brunei. Wilayah Sarawak yang dimaksudkan pada zaman pemerintahan Brunei hanyalah Bahagian Kuching pada hari ini (Juanda 2003).
⚜️Silsilah Raja-raja Brunei dan Tarsilah Brunei menyebutkan bahawa di antara wilayah jajahan kerajaan Brunei pada zaman Awang Alak Betatar ialah wilayah Kalaka, Saribas, Samarahan, Sarawak dan Mukah (Sweney 1968).
⚜️Makam Sultan Tengah menjadi tarikan utama dalam senarai tempat-tempat bersejarah yang boleh dilawati di Sarawak. Pelancong yang berkunjung di makam ini akan mendapat peluang untuk merenung kembali zaman lampau dan menghargai sumbangan Sultan Tengah terhadap pembentukan Wilayah Sarawak. Selain itu, bagi penyelidik politik dan ahli sejarah, makam ini merupakan sumber penting yang menawarkan wawasan yang mendalam tentang sejarah dan sosial Sarawak pada ketika zaman tersebut.
Ihsan: Majlis Islam Sarawak, Arkib Negara Malaysia, Sanib Said

Kongsi berita ini