SEMINAR BATANG LUPAR DALAM LIPATAN SEJARAH SARAWAK

26 Jun 2025 (Khamis): Antara aksi dan gelagat Encik Iswandi bin Haji Junaidi, Kurator dan Ketua Bahagian Pengurusan Warisan Jabatan Muzium Sarawak, yang sempat dirakam di atas pentas ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Batang Lupar Dalam Lipatan Sejarah Sarawak” dalam seminar anjuran UNIMAS bertempat di Auditorium PUSTAKA Sarawak pada Khamis lalu.
Dalam ceramah tersebut, beliau mengetengahkan sejarah tiga buah kerajaan lama yang pernah wujud di Batang Lupar, iaitu “Kerajaan Banting, Kerajaan Patusan, dan Kerajaan Skrang” Pensejarahan Batang Lupar ditandai dengan kewujudan tiga kerajaan yang sangat berpengaruh ini.
Adakah ketiga-tiga kerajaan tersebut merupakan kerajaan biasa-biasa sahaja?
Sudah tentu tidak. Sebagai contoh, “Kerajaan Banting” memiliki Hukum Kanun Banting atau juga dikenali sebagai Kanun Lingga.
Hukum Kanun Banting merupakan sistem perlembagaan dan perundangan yang digunakan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Banting. Menariknya, hukum kanun ini mempunyai persamaan dengan Hukum Kanun Melaka, Terengganu, Brunei dan kerajaan-kerajaan Melayu lain pada ketika itu. Hal ini kerana perundangan tersebut bersandarkan hukum hakam yang ditetapkan dalam Al-Quran.
Pemerintah Kerajaan Banting juga bukan calang-calang. Syarif Akil, pemerintah Banting, merupakan anakanda kepada Sayyid Yaasin yang berasal dari Hadramaut, Yaman dan berketurunan Al Yahya. Sayyid Yaasin telah datang ke Terengganu, dilantik menjadi penasihat kepada Sultan Terengganu, dan kemudiannya berkahwin dengan adinda Sultan Terengganu ketika itu.
Kerajaan Patusan pula terkenal sebagai kerajaan pelabuhan. Terdapat catatan yang menyatakan ramai pedagang Arab, Portugis dan Nusantara datang berdagang ke Negeri Patusan.
Sementara itu, Kerajaan Skrang terletak di sekitar Undop dan Skrang. Antara pemerintahnya ialah Laksamana Lomudin atau dikenali juga sebagai Laksamana Aminudin. Seperti Kerajaan Patusan, dua orang Arab bersaudara iaitu Syarif Mulla dan Syarif Sahab turut menjadi pemerintah bagi kedua-dua kerajaan ini.
Apabila Kerajaan Patusan dan Skrang jatuh, maka lahirlah Simanggang. Menurut beliau, kelahiran Simanggang boleh dianggap sebagai ‘Kerajaan Simanggang’ kerana sejarah kewujudannya tidak dapat dipisahkan daripada susur galur ketiga-tiga kerajaan terdahulu.
Terdapat pelbagai intipati menarik yang dikongsikan dalam ceramah berdurasi dua jam tersebut walaupun masa terasa begitu singkat. Beliau berusaha memberikan yang terbaik demi memastikan Batang Lupar terus diangkat sebagai roh, jasad dan batin pensejarahan Sarawak.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Encik Shaik Azahar bin Shaik Hussain serta pelajar tahun akhir Pengurusan Seni dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak atas usaha menganjurkan program yang bermakna ini.

Kongsi berita ini