SEMATAN – Barisan kepimpinan belia perlu diperkukuhkan sejak awal bagi melahirkan pemimpin akar umbi yang berwibawa. Program SAMAsedia 2025 atau Kem Aspirasi Warisan Anak Negeri, bertujuan membentuk kepimpinan belia melalui
pendekatan yang santai, interaktif dan penuh nilai perpaduan serta patriotisme selaras dengan semangat Sarawakku Sayang.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 9 Februari 2025 di Kem Belia Pueh, Sematan ini menghimpunkan seramai 45 peserta dari satu kawasan, daerah dan bahagian yang sama. Mereka terdiri daripada golongan belia yang berpotensi menjadi pemimpin di peringkat kampung, daerah, dan negeri.
Sepanjang program, peserta menjalani pelbagai aktiviti berkumpulan yang menguji daya kepimpinan, kerjasama dan keupayaan membuat keputusan. Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk barisan pemimpin pelapis yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam membangun masyarakat.
Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, termasuk Susoul Management serta kakitangan yang terlibat. Terima kasih atas komitmen anda dalam membentuk generasi pemimpin masa depan!