1. SAMArindok Aidilfitri AKYBMS merupakan program ikonik yang selalu ‘ditingas’ atau dinanti-nantikan oleh masyarakat Melayu Sarawak kerana acara ini sinonim dengan objektif penganjurannya iaitu menjadi platform menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Melayu Sarawak. Antaranya seperti tokoh-tokoh kenamaan, barisan jemaah Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri Melayu Persekutuan-Negeri; pimpinan politik; pimpinan Universiti kerajaan-swasta; Ketua-ketua Jabatan; GLC, Agensi & Badan Berkanun; Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Melayu dan rakan strategik Badan Bukan Kerajaan (NGO).
2. Penglibatan sinonim adalah seperti Persatuan Anak JATI Lawas Kuching, Persatuan Warga Islam Saribas (PERWARIS), Dangsanak Limbang, ABIM, ISMA, HIKMAH, HIKAM, Persatuan Jati Miriek Miri, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS), Pertubuhan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Guru-guru Utama Perguruan Seni Silat Sarawak, Persaudaraan Belia Melayu Petrajaya, Kelab Belia Waja KASBA dan ramai lagi rakan strategik lain yang hadir pada malam ini seperti komuniti profesional, graduan, teknokrat, aktivis budaya, anak-anak seni, orang-orang kenamaan Melayu, belia dan para rakan aktivis seni, islamiah dan kebudayaan yang lain.
3. Ini lapangan jaringan sosial yang bukan kaleng-kaleng! Ini medan pertemuan masyarakat Melayu Sarawak terbesar dan memungkinkan. Jelas akan menjadi landasan kepada sinergi pelbagai pihak dalam kegiatan-kegiatan yang boleh membantu membangunkan generasi muda Melayu Sarawak dan memperkasakan generasi sedia ada pada hari ini agar dapat lebih mantap daya tahan lasak, teguh jadi diri dalam memperjuangkan Islam sebagai tujuan hidup.
4. Malah, tidak dilupakan rakan-rakan daripada Yayasan Budaya Dayak (DCF), Persatuan Melanau, Forum Orang Ulu, Persatuan Kedayan, dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Persatuan Cina Hakka Kuching Samarahan dan wakil komuniti Sikh Kuching yang turut menjadi tetamu undangan.
5. Tema yang diangkat pada kali ini ada tiga iaitu ‘SAMAberambeh, SAMAbadudun, dan SAMAberinggo”. Gabungan perkataan dialek Melayu Kuching, dialek Melayu Lawas dan dialek Melayu Saribas (Pesisir). Konotasinya membawa maksud yang sama itu berhimpun, pengilan, berami, berjarah serta mendukung falsafah syariat Islam iaitu menghubungkan silaturrahim dan ukhwah sesama saudara seagama.
6. Pengisian acara dalam program ini pula dibangunkan dengan penuh teliti, terancang dan efektif agar elemen kemelayuan itu terserlah melalui terjemahan terma kata “SAMA” dan “RINDOK”. Terma kata SAMarindok merupakan simbolik kesatuan ummah semasa yang bertunjangkan teras kebudayaan kebangsaan iaitu aspek implementasi budaya tak ketara (intengible-culture) sebagai nadi utama busana jawatankuasa, kod pakaian jemputan, perhiasan warisan kesenian, persembahan pentas, penonjolan persembahan seni bela diri silat, serta keunggulan warisan kebudayaan, kedaulatan dan ketamadunan terawal yang disokong dengan fakta arkeologi dan empirikal sekali gus menatijahkan penemuan kewujudan Raja Datuk Marapati dan Datu Permaisuri membuka Negeri Santubong (kemudian Sarawak Lama) sejak tahun 300 Sebelum Era Sekarang (BCE).
7. Selain itu, pihak penganjur juga amat berbesar hati atas kehadiran YAB Premier Sarawak serta isteri, YB Menteri dan Timbalan Menteri, serta tokoh kenamaan Melayu yang ramai hadir serta hadirin-hadirat yang sudi bertandang dan menyatakan tanda kasih.
8. Aidilfitri pada kali ini amat bermakna sekali kerana sejak Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020, Hari Raya disambut dengan keadaan yang sangat berbeza sekali daripada kebiasaannya.
9. Akan tetapi, pada tahun ini, alhamdulillah. Kita diberikan kesempatan untuk bersama-sama kembali meneruskan amalan ziarah dan kunjung-mengunjung saudara mara dan sahabat handai, antara satu sama lain yang telah diwarisi sejak zaman ‘menseya’ atau dahulu kala.
10. Pada akhirnya, inilah batu asas yang menjadi rangka tujuan kewujudan SAMArindok Aidilfitri AKYBMS saban tahun; yakni menjalin kesepakatan dan tali persaudaraan muslim seagama kerana Allah SWT; dengan bermula daripada cetusan tema pengikat, pelan perancangan acara, menghitung hari, kajian jangkaan risiko dan kecemasan, seterusnya pelaksanaan perancangan bajet dan program dengan etika kerja berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP); ‘tulis apa nak dibuat, buat apa yang telah ditulis’ dan dokumentasi acara.
11. Di sinilah manfaat daripada nilai pegangan AKYBMS iaitu HUAIR (Husnuzon, Ukhuwah, Amanah, Ikhlas dan Rajin) diterjemahkan semaksimumnya dalam mengangkat martabat budaya sebagai korpus industri yang signifikan melestarikan kebudayaan Melayu Sarawak.
12. Semoga pada tahun yang mendatang, kita semua dikurniakan kesempatan oleh Allah SWT untuk kembali “SAMAberambeh, SAMAbadudun dan SAMAberinggo” dalam acara SAMArindok AIDILFITRI AKYBMS yang menjalin akrab ukhuwah Islamiah serta mengeratkan tali persaudaraan Melayu-Islam.
Salam SAMArindok!
25 Syawal 1443H
AKYBMS.
“AKYBMS 25 TAHUN, PASAK KEUNGGULAN BANGSA”
“Menjadi pembela keunggulan bangsa Melayu Sarawak”
“Bertekad mencemerlangkan bangsa Melayu Sarawak dalam bidang sosial, ekonomi, politik, agama, pendidikan dan seni budaya.”
– Bahagian Pendidikan, Agama & Sosial AKYBMS