SAMArindok Aidilfitri 2023M / 1444H

SAMArindok AIDILFITRI 2023M (AKYBMS) 1444H
KUCHING: 10 MEI 2023
Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana limpah Rahmat dan izin-Nya majlis SAMArindok Aidilfitri yang disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg dan tetamu yang bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Majlis kali ini menyaksikan kehadiran tetamu lebih dari 1000 orang masyarakat Melayu Sarawak yang terdiri daripada tokoh kenamaan, pemimpin politik, pimpinan kerajaan, Ketua-Ketua Jabatan, Agensi kerajaan, Ketua Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan. Selain itu, kehadiran rakan-rakan daripada persatuan yang mewakili kaum lain di Sarawak Darul Hana ini turut mewarnai majlis yang indah ini.
Tema SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2023M/1444H merupakan tema yang komprehensif iaitu, “SAMAberambeh, SAMAberinggo dan SAMAbadudun” yang membawa inspirasi kekeluargaan sebuah komuniti masyarakat Melayu yang besar dari Tanjung Datu hingga ke Lawas. Diksi tempatan merujuk kepada pilihan kata-kata atau frasa yang digunakan dalam bahasa setempat atau bahasa daerah yang mencerminkan nilai-nilai kebudayaan dan kearifan tempatan. Dalam konteks ini, diksi tempatan merangkumkan nilai-nilai keperibadian bangsa yang sinonim dengan norma dan etos unggul masyarakat Melayu Sarawak di Wilayah Kuching, pesisir Saribas, dan juga Lawas.
Kata-kata seperti “berambeh”, “ringgo”, dan “badudun” digunakan secara meluas dalam bahasa setempat di wilayah tersebut dan mempunyai makna yang sangat dekat dengan hati warga Sarawak di wilayah berkenaan. Contohnya, “berambeh” bermaksud berkumpul atau bersatu untuk melakukan sesuatu dengan penuh semangat dan keakraban. Sementara itu, “ringgo” merujuk kepada sikap sederhana, sopan, dan murah hati, dan “badudun” bermakna bertanggungjawab, memegang janji, dan menghormati perjanjian.
Dalam perkara ini, keunikan warisan masyarakat Melayu Sarawak terserlah melalui sejarah, cerita-cerita rakyat, nyanyian adat dan pertunjukan busana Melayu. Pada siri kali ini, majlis SAMArindok Aidilfiti AKYBMS mengangkat budaya Melayu Sarawak dengan menampilkan dua ikon SAMArindok Aidilfitri iaitu Datu Marapati dan Gadjah Oleng. Dalam acara perasmian, rombongan masuk dua ikon ini akan mengiringi hulubalang yang membawa “Meriam Bujang Tambelan Raden Adi Pati Sari” naik ke atas pentas. Tetamu kehormat meletupkan meriam sebagai simbolik kepada pengumuman Hari Raya Aidilfitri yang digunakan pada masa dahulu dan disusuli dengan laungan tabkir Hari Raya.
Akhir sekali, budaya Melayu Sarawak ini turut dimanifestasikan melalui persembahan lain seperti Tarian Selamat Datang oleh Artis Budaya Badan Seni AKYBMS, pertunjukan Pencak Silat dari Perguruan Seni Silat Paris Dendam, Persembahan Nyanyian asli dari Farizul Jamaluddin, dan Syair Negeri Santubong dari Fauzan Iz’zaan, Tarian Datu Permaisuri, Persembahan Nyanyian daripada Bob Yusuf, Erli Juliana, Safar Ghaffar, Nabawi Nadhar, Hakim dan diakhiri persembahan bermukun dari Kumpulan Sri Buana, Kuching.
Semoga kita berjumpa lagi dalam Majlis SAMArindok Aidilfitri yang akan datang. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Ikhlas daripada Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Barisan Kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Kongsi berita ini