13 Jun 2025 – Hari pertama Program Samasiswa sedang berlangsung pada hari ini di Sumiran Eco Park & Resort dengan penyertaan seramai 39 orang pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) ini diadakan selama dua hari, bermula 13 hingga 14 Jun 2025, sebagai inisiatif selaras dengan Pelan Strategik Melayu Sarawak 2035 di bawah teras belia, yang bertujuan membentuk generasi ulul albab yang berdisiplin untuk melahirkan pemimpin pelapis demi menjamin keunggulan dan kecemerlangan bangsa Melayu secara berterusan.
Berkonsepkan pelbagai wadah yang santai dan berinformasi, program ini memberi pendedahan kepada elemen kepimpinan, pemantapan keyakinan diri dan peningkatan kualiti insaniah, sekali gus memacu siswa menjunjung prinsip amar makruf, nahi mungkar dan berpaksikan Alif-Ba-Ta.
Antara kakitangan AKYBMS yang terlibat dalam pelaksanaan program ini ialah Encik Wan Mohd Irfan bin Wan Zamhari, Encik Amirul Rashid bin Abdullah, Puan Iszaliana binti Majelan @ Mazlan dan Cik Noralla binti Hamdan.