8 Januari 2022 – Sabtu, Pementasan Teater Tari Kembara Datu Marapati, Raja Negeri Santubong anjuran daripada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) yang bertempat di Panggung Exsperimental, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS. Program ini dilaksanakan dalam keadaan semasa pendemik dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) memandangkan pendemik Covid-19 yang melanda negara kita pada masa kini. Pementasan ini berlangsung selama sehari yang bermula dari pukul 7:00 pagi sehingga pukul 6:00 petang.
Pementasan ini dilaksanakan secara rakaman yang mana tidak melibatkan orang awam atau jemputan penonton dalam skala yang ramai untuk hadir menonton persembahan tersebut. Hal ini bertujuan untuk mengelak penularan wabak Covid-19. Program ini hanya melibatkan para pelakon, sutradara, kru pentas dan tetamu jemputan khas sahaja yang menyaksikan secara fizikal. Jemputan kehormat, iaitu Yang Berbahagia Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said merupakan pengurus besar AKYBMS dan juga sebagai penasihat program pementasan teater tari Kembara Datu Marapati, Raja Negeri Santubong, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS, Prof Dr. Musdi bin Hj Shanat dan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak yang diwakili oleh Encik Zulkarnain bin Ismail dan Encik Shahrul Azizi.
Karya ini merupakan hasil penulisan oleh Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, iaitu Buku Negeri Santubong Sejarah Awal Sarawak, 300ESS – 1647ES yang telah diadaptasikan untuk pementasan Teater Tari Kembara Datu Marapati, Raja Negeri Santubong. Pengarahan teater ini ialah Dayang Faqihah atas bimbingan daripada Encik Azuan Jemat dan Encik Ahmad Hamdan. Persembahan ini hanya melibatkan pelaku daripada Badan Seni AKYBMS sebagai sutradara, Encik Ahmad Kassim bin Ibrahim (Penolong Koreografer), Encik Mohamad Sophian bin Yahaya (Guru Silat Perguruan Betawi), Encik Ismail bin bin Mohd Idris (Pengarah Muzik Tradisional Badan Seni AKYBMS), Encik Mohammad Fauzan Iz’aan (Deklamasi Syair), Encik Naffais Nasreel Bin Din (Pengacara & Narrator), Encik Azfar (Sarawak Media Global), Encik Hazielan Madinil (Cotrope Creates Company), Encik Azman dan Encik Saufian (FSGK UNIMAS) dan KRU serta kakitangan AKYBMS.
Pementasan teater ini bukanlah hiburan semata-mata, objektif pelaksanaan program ini juga ke arah mencapai salah satu objektif dalam teras Agama dan Budaya Pelan Strategik Melayu Sarawak (PSMS 2035). Malahan untuk meraikan seniman, karyawan khususnya aktivis budaya Melayu Sarawak melalui platform AKYBMS. Bukan itu sahaja, pelaksanaan program ini untuk menggalakkan pendekatan baharu dalam membudayakan kegiatan seni pengucapan sastera sekali gus menarik minat generasi muda terutamanya golongan belia Melayu Sarawak melalui gabungan seni muzik. Ini bukanlah satu halangan untuk para penggiat seni untuk terus mengembangkan bakat mereka serta menempa kejayaan dalam bidang seni.
Pihak Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak mengucapkan syabas dan tahniah serta sekalung penghargaan ucapan terima kasih kepada penglibatan semua pihak yang telah menjayakan program tersebut dan diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Seterusnya penyerahan cenderamata kepada Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS sebagai tanda mercu penghargaan atas kerjasama yang diberikan.