Kuching, 23 November 2024 – Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) telah mengadakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Kali Ke-10 di Pusat Sumber Tun Openg, Kuching. Mesyuarat ini dihadiri oleh ahli-ahli IGMS serta tetamu kehormat, bertujuan untuk membincangkan perancangan dan hala tuju pertubuhan bagi sesi 2024-2026.
Dalam mesyuarat ini, pelbagai isu berkaitan pendidikan, pembangunan sosio-ekonomi, dan keperluan masyarakat Melayu Sarawak dibincangkan secara mendalam. Ahli-ahli IGMS memberikan pandangan dan cadangan untuk meningkatkan peranan pertubuhan dalam membela nasib serta kepentingan masyarakat Melayu.
Mesyuarat ini juga menyaksikan lantikan sekretariat baharu yang akan menerajui IGMS, menggantikan sekretariat lama yang telah dibubarkan. Diharapkan dengan kepimpinan baharu ini, IGMS akan bergerak ke arah yang lebih progresif dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Syabas dan tahniah kepada Tuan Haji Syed Hossin bin Wan Hamit atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua IGMS, serta Encik Samsol bin Morshidi Bujang sebagai Timbalan Yang Dipertua IGMS. Tahniah juga kepada ahli-ahli jawatankuasa yang telah dipilih. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada mantan pengerusi, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Said, atas jasa beliau selama ini menerajui IGMS.