3 Mac 2022, KUCHING: Bara semangat perjuangan Rosli Dhoby dan Rukun 13 yang teguh, tidak mudah menyerah kalah, berani atas kebenaran dan menjunjung maruah agama dan bangsa harus dijadikan tauladan oleh generasi muda hari ini. Apatah lagi, masyarakat Melayu Sarawak sama sekali tidak akan lupa titis-titis darah pejuang Sarawak yang telah gugur demi kemerdekaan pertiwi.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (Pembangunan Perusahaan Industri Kecil & Sederhana) Sarawak, Datuk Mohd. Naroden Majais itu berkata, semangat perjuangan itu wajar diwarisi oleh generasi akan datang dalam mempertahankan hak rakyat Sarawak. Perjuangan itu hendaklah diteruskan sejajar dengan cabaran yang dilalui oleh masyarakat Melayu Sarawak ketika ini, kata Naroden yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).
Datuk Naroden yang mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi LPA AKYBMS, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan membacakan teks sekali gus merasmikan SAMAceramah 2022: Syarahan Rosli Dhoby dan Rukun 13 Sempena Haul ke-72 di Dewan Seminar, Wisma Sumber Alam, di sini.
Acara tersebut dianjurkan oleh AKYBMS dengan kerjasama rakan kolaboratif Perbadanan Kemajuan Kayu Sarawak (PUSAKA) bagi mengupas kisah, susur-galur, peristiwa dan kronologi perjuangan bersejarah nasionalisme Sarawak bernama Rosli Dhoby serta Rukun 13 serta menghayati makna keluhuran sebuah kemerdekaan.
Menurut Datuk Naroden, semangat perjuangan Rosly Dhoby dan Rukun 13 mempertahankan nusa dan bangsa daripada belenggu kuasa penjajah laknatullah telah menjadi asas kukuh yang menggerakkan segenap tekad kekuatan jasad intelektual rohaniah dan kesiagaan untuk berkorban atas nama kemerdekaan ummah seperti tuntutan syariat. Oleh itu, mereka perlu menggerakkan segala kekuatan sumber intelektual, sumber profesional, sumber tenaga mahir dan sumber bakat kepimpinan anak-anak supaya dapat menetapkan hala tuju serta masa depan bangsa pada jajaran yang tepat, tegas beliau.
“Begitu juga beberapa perkara berkaitan dengan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 yang masih lagi menjadi keutamaan kepada perjuangan pimpinan negeri dalam mencorak arah dan masa depan negeri dan masa depan generasi muda pada masa akan datang,” katanya.
Kisah perjuangan Rosli Dhoby dan Rukun 13, tambah beliau, wajar dihayati dan dijadikan contoh yang paling kukuh untuk membentuk akhlak peribadi dan jati diri generasi muda hari ini.
“Maknanya, untuk memahami kewujudan masyarakat hari ini wajarlah kita menelusuri dengan sejujur-jujurnya apakah perkaitan nasionalisme Melayu Sarawak dan sejarah negeri-negeri Melayu awal yang telah wujud ribuan tahun sebelumnya,” katanya.
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Haji Wahbi bin Haji Junaidi, Pengerusi Jawatankuasa Agama AKYBMS; YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS; dan Cik Hajjah Haluyah binti Awi, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA.