Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 1445H/ 2024M

“SAMAberambeh”, “SAMAberinggo” dan
“SAMAbadudun”.
7 Mei 2024 (Selasa): Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana limpah Rahmat dan izin-Nya majlis SAMArindok Aidilfitri yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar telah berjaya dilaksanakan dengan baik.
Turut hadir, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Premier Wilayah Sarawak dan tetamu yang bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak, tetapi majlis kali ini menyaksikan kehadiran tetamu lebih dari 800 orang masyarakat Melayu Sarawak yang terdiri daripada tokoh kenamaan, pemimpin politik, pimpinan kerajaan, Ketua-Ketua Jabatan, Agensi kerajaan, Ketua Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan.
Selain itu, kehadiran rakan-rakan daripada persatuan yang mewakili kaum lain di Sarawak Darul Hana ini turut mewarnai dan memeriahkan majlis pada kali ini.
Tema SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2024M/1445H merupakan tema yang komprehensif iaitu, “SAMAberambeh, SAMAberinggo dan SAMAbadudun” yang membawa inspirasi kekeluargaan sebuah komuniti masyarakat Melayu yang besar dari Tanjung Datu hingga ke Lawas.
Dalam konteks ini, kata-kata seperti “berambeh”, “beringgo”, dan “badudun” digunakan secara meluas dalam bahasa setempat di wilayah tersebut dan mempunyai makna yang sangat dekat dengan hati warga Sarawak di wilayah berkenaan.
Contohnya, “berambeh” bermaksud berkumpul atau bersatu untuk melakukan sesuatu dengan penuh semangat dan keakraban. Sementara itu, “ringgo” merujuk kepada sikap sederhana, sopan, dan murah hati, dan “badudun” bermakna bertanggungjawab, memegang janji, dan menghormati perjanjian.
Negeri Yang Hilang di Sarawak menyaksikan kembali peredaran masa pada zaman dahulu kala purba kala:
➢ Astana Agung yang hilang pada zaman Raja Negeri Banting dijelmakan semula dalam program SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2024.
➢ Pada masa dahulu kala, pihak Astana baginda Raja Agung akan meledakkan letupan Meriam dibunyikan beberapa das tembakan Meriam sebagai adat istiadat penyimpan mohor di Raja bagi menandakan kelihatan anak bulan syawal yang menandakan kemenangan umat Islam Melayu dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dan kini akan menyambut hari lebaran iaitu hari Raya Aidilfitri.
➢ Letupan Meriam juga menandakan keagungan adat istiadat Melayu menjadi simbol kebudayaan memaparkan kebesaran dimana bunyi ledakan yang gegak gempita didengari seluruh rakyat jelata sama ada di daratan gunung ganang serta dipesisiran hulu dan hilir.
➢ Meriam juga menandakan kebesaran kerajaan Melayu diibaratkan bunyi menyamai guruh dilangit serta letupan gunung berapi di daratan jelas memperlihatkan kebesaran dan keagungan adat Istiadat Melayu yang kini dikenang zaman sebagai barang pusaka warisan turun temurun dalam ketamadunan alam Melayu.
➢ Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2024 mengetengahkan 7 Raja : Raja Banting, Raja Santubong, Raja Kalaka, Raja Saribas, Raja Sebangan, Raja Dang Ubuk & Raja Dang Ukuk.
Terima kasih tidak terhingga kami dari warga AKYBMS ucapkan kepada semua yang telah terlibat secara lansung dan tidak lansung dalam merealisasikan majlis ini. Semoga kita berjumpa lagi dalam Majlis SAMArindok Aidilfitri yang akan datang. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Ikhlas daripada Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Barisan Kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Kongsi berita ini