Pada 28 Julai 2025 : Pejabat Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menerima kunjungan hormat daripada Encik Muhammad Qhidir bersama seorang wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan. Kunjungan tersebut telah disambut mesra oleh Pengurus Besar AKYBMS, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said.
Kunjungan ini bertujuan untuk menjalin hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama antara AKYBMS dan pihak PPD Simunjan, khususnya dalam usaha memperkukuh elemen pendidikan berasaskan warisan dan budaya tempatan. Perbincangan turut menyentuh potensi pelaksanaan program bersama melibatkan pelajar dan komuniti setempat yang bertujuan memartabatkan nilai sejarah serta identiti budaya Melayu Sarawak.
Pihak AKYBMS amat mengalu-alukan usaha seperti ini yang dapat menyatukan elemen pendidikan dan kebudayaan, sekali gus memperkukuh jaringan antara institusi budaya dan sektor pendidikan di peringkat daerah.