KOTA SAMARAHAN, 26 September 2026 – Kursus Pelajar Melayu Islam Cemerlang (KPMIC) 2026 Siri IV anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah berlangsung dengan jayanya di SMK Kota Samarahan dengan penyertaan pelajar sekolah tersebut.
Program ini merupakan salah satu inisiatif AKYBMS dalam memberi pendedahan, bimbingan dan motivasi kepada pelajar Melayu Islam bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah serta potensi diri. Pelbagai pengisian yang berfokus kepada pembangunan diri, kepimpinan, komunikasi dan pembentukan jati diri telah disampaikan sepanjang program berlangsung.
Pelaksanaan program ini dikendalikan oleh kakitangan AKYBMS daripada Unit Pendidikan, Agama dan Sosial dengan kerjasama pihak sekolah bagi memastikan objektif program dapat dicapai dengan berkesan.
Majlis penangguhan dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak. Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Kemeri Jalani, Pengetua SMK Kota Samarahan, wakil AKYBMS, para guru serta peserta program.
AKYBMS berharap penganjuran KPMIC dapat terus menjadi platform yang bermanfaat dalam membentuk generasi pelajar Melayu Islam yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan Sarawak.





