JEJAK WARISAN SEJARAH: Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice)

Pada 16 Mac 2024, Cik Zafirah binti Othman dari Bahagian Penyelidikan dan Media, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) bersama dengan Cik Najihah binti Bohari, Rakan Strategik AKYBMS, telah melawat Bandar Sri Aman, Sarawak.
Antara salah satu tempat yang telah mereka lawati adalah Kubu Alice (Fort Alice). Lokasi Kubu Alice terletak di Bandar Sri Aman dan telah dibina di atas bukit di tepi Sungai Batang Lupar. Bangunan Kubu Alice ini merupakan satu-satunya peninggalan sejarah yang masih kekal di kawasan Sri Aman dan merupakan salah satu bangunan tertua di Sarawak.
Ianya telah dibina pada tahun 1864 oleh Sir Charles Brooke, Rajah Brooke yang kedua, kubu ini awalnya difungsikan sebagai pejabat kerajaan untuk mengekang serangan musuh dan aktiviti “ngayau” di sekitar hilir Batang Lupar.
Bangunan ini telah diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah pada 10 Februari 1971 dan terus menjadi tarikan sejarah bagi penduduk tempatan dan pelancong. Kubu Alice mempunyai ciri-ciri yang mencerminkan struktur pertahanan, termasuk pintu pagar besar yang terletak di cerun bukit. Selain itu, terdapat menara tinggi di kedua belah sisi bangunan, serta meriam-meriam besar yang tersusun mengelilingi kubu tersebut untuk tujuan pertahanan.
Bangunan Kubu Alice mempunyai pemandangan yang cantik dan menarik kerana kedudukannya yang amat strategik. Dimaklumkan bahawa Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice) telah dibuka semula kepada umum dan dibuka pada setiap hari. Anda bolehlah melayari museum.sarawak.gov.my untuk mengetahui waktu operasi Kubu Alice.

Kongsi berita ini