JEJAK WARISAN MELAYU SARAWAK ⭐Sri Tarina: Rinduku, Rindumu “Selalu di Ati Kamek”⭐

⭐Sri Tarina: Rinduku, Rindumu “Selalu di Ati Kamek”⭐
Sekali maju tetap maju, menghidup seni serta Budaya dan Seni berteras unsur Melayu. Itulah teras Budaya Malaysia. – Haji Hasbie Sulaiman, Pengasas Sri Tarina
⚜️Sri Tarina telah ditubuhkan pada 28 April 1968 di bawah naungan Unit SABERKAS Badan Muafakat Kampung No.4, Kuching. Sri Tarina pada awalnya dianggotai oleh 8 orang penari lelaki dan 8 orang penari perempuan.
⚜️Setelah Sri Tarina mencapai kejayaan di peringkat Kebangsaan, ramai remaja ingin menyertai kumpulan Sri Tarina. Maka selepas itu kumpulan ini mengembangkan sayapnya menjadi KARTIKA SARI dan ARTISTIKA.
⚜️Atas nasihat dan permintaan YAB Allahyarham Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, maka kumpulan ini ditukar menjadi Sri Sarawak pada tahun 1977.
⚜️Kumpulan Sri Tarina juga menerima penari bukan Melayu. Di antaranya Sim Siew Chen, David Lee, Lim Pek Choo dan Tan Siaw Ling.
⚜️Selain berkecimpung dengan arena kesenian, kumpulan Sri Tarina juga terlibat dengan khidmat masyarakat dalam aktiviti khidmat masyarakat dalam aktiviti menderma darah dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Sarawak. Acara ini biasanya dilakukan setiap tahun bagi memperingati hari ulang tahun Sri Tarina.
⚜️Pada 22 Julai 2023, kumpulan Sri Tarina membuat kemunculan semula dengan menyertai kontinjen Amanah Khairat Yayasan Kebudayaan Melayu Sarawak (AKYBMS) dan mempersembahkan persembahan tarian sempena Ulang Tahun Ke-60 Kemerdekaan Sarawak. Kontinjen AKYBMS mengetengahkan tema “Bangsawan Melayu” dan berjaya menggondol hadiah RM 10,000 dalam pertandingan Perbarisan dan Perhimpunan sempena Hari Sarawak ke-60 dalam kategori NGO.
⚜️Pada tahun 2022, AKYBMS telah menerbitkan buku Nostalgia Sri Tarina: Seleksi Tandak Melayu Sarawak. Nostalgia Sri Tarina: Seleksi Tandak Melayu Sarawak merupakan sebuah buku dokumentasi hasil daripada penyelidikan warisan kebudayaan Melayu Sarawak dalam bidang seni tarian. Pada tahun 60an, Sri Tarina namanya menjadi buah mulut orang Sarawak di atas kejayaan memenangi pertandingan tarian sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Kumpulan Sri Tarina sering mengharumkan nama Sarawak di persada pentas kebudayaan melayakkan kewibawaannya sehingga menjadi rujukan untuk tarian Melayu, kontemporari, kreatif dan tradisional di Sarawak. Antara tarian yang masih diingati dan dipersembahkan sehingga kini iaitu Tarian Jinak-Jinak Merpati yang sering dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village).
⚜️ Sejarah kewujudan Sri Tarina harus diangkat menjadi bahan bacaan ilmiah di Sarawak agar kejayaan dan kehebatan Sri Tarina menjadi aspirasi generasi muda untuk mengetahui kebudayaan dan variasi kesenian yang menjadi legasi Sri Tarina. Contohnya, Sri Tarina pernah dinobatkan Johan Tarian Kebangsaan setelah menewaskan 159 buah kumpulan tarian dari seluruh Malaysia.
⚜️Mengimbau zaman kegemilangan Sri Tarina pada masa era 70-an dan 80-an merupakan satu catatan sejarah peristiwa yang sangat penting dalam dunia kebudayaan di Negeri Sarawak. Kewujudan Sri Tarina jelas menunjukkan bahawa orang Sarawak khususnya orang Melayu memiliki seni warisan budaya yang kaya setanding dengan negeri lain di seluruh Malaysia. Hakikat realiti sejarah telah mencatatkan warisan seni budaya ini telah bermula sejak kewujudan Negeri Melayu Awal di Sarawak yang memiliki ketamadunan dan kebudayaan yang tinggi seperti Kebudayaan Istana.
⚜️Nostalgia Sri Tarina: Seleksi Tandak Melayu Sarawak ini merupakan hasil penulisan Tuan Haji Mahmud Zamudin bin Mat dan penyuntingan oleh Encik Azuan bin Jemat. Usaha penerbitan buku ini dilakukan oleh Bahagian Kebudayan dan Penyelidikan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dengan kerjasama Old Kuching Smart Heritage. Matlamat utama penerbitan buku ini ialah untuk pengkisahan Sri Tarina dan mengdokumentasi sejarah Sri Tarina dan Tandak Melayu Sarawak.
⚜️Pada 29 Mei 2024, ketua dan penulis buku Nostalgia Sri Tarina: Seleksi Tandak Melayu Sarawak iaitu Tuan Haji Mahmud Zamudin bin Mat telah meninggal dunia. Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa agar semua amal ibadahnya diterima Allah SWT dan semua dosa serta khilafnya diampuni.
PS: Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli produk Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) bolehlah berkunjung di pejabat atau DM di Facebook kami.
Ps: ikuti Tiktok AKYBMS @budayamelayusarawak ✨

Kongsi berita ini