Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said bersama Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS sekali lagi telah mengadakan Jejak Warisan di Kampung Lidah Tanah bagi meninjau kawasan bersejarah yang terdapat di kampung ini.
Dalam lawatan tersebut, rombongan berpeluang mendaki ke puncak bukit Munggu Panchor untuk melihat sebuah bekas pos pemerhati tentera yang pernah digunakan pada masa lalu.
Program ini turut bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan makam-makam yang dipercayai dimiliki oleh para pahlawan dan pembesar Melayu terdahulu di Lidah Tanah.
Kampung Lidah Tanah sendiri dipercayai pernah menjadi pusat pentadbiran kedua selepas pemerintahan lama di Santubong berpindah ke sini, menjadikannya salah satu tapak penting dalam sejarah awal Melayu Sarawak.