KUCHING, 29 September 2026 – Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 bertemakan “Sejarah Sarawak: Mengisi Makna, Membina Negara Bangsa” telah membuka tirainya pada hari ini bertempat di Wisma Melayu Sarawak, Kuching. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Abdul Karim bin Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Majlis perasmian turut menyaksikan simbolik perasmian Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 serta simbolik peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-50 (Jubli Emas) Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha pemeliharaan, penyelidikan dan pendokumentasian khazanah sejarah negeri Sarawak.
Pengisian persidangan pada hari pertama dimulakan dengan ucaptama oleh YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS). Persidangan kemudiannya diteruskan dengan Sesi 1 bertajuk “Sejarah Perjuangan dan Nasionalisme Sarawak” yang dimoderatorkan oleh Tuan Haji Shazani bin Haji Masri, menampilkan empat orang pembentang, iaitu Dr. Suffian Mansor, Encik Samsol Morshidi Bujang, Dr. Nordie Achie dan Datu Dr. Neilson Ilan Mersat.
Sesi 2 pula mengetengahkan tajuk “Sejarah Awal Sarawak” dengan pembentangan oleh Dr. Nicholas Ghani, Encik Azuan Jemat dan Dr. Emyzul Ismail. Kedua-dua sesi ini menjadi wadah perkongsian ilmu dan wacana akademik dalam memperluas pemahaman tentang sejarah awal, perjuangan serta perkembangan nasionalisme di Sarawak.
Persidangan yang berlangsung pada 29 hingga 30 September 2026 ini dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Pustaka Negeri Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak. Penganjuran persidangan ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi serta memperkaya penyelidikan dan perkongsian ilmu berkaitan sejarah Sarawak demi tatapan generasi kini dan akan datang.





