DARI RAUDHATUL JANNAH KE DARUL IBADAH BATU KAWA, SAMAkasih, SAMArasa – Ihya Ramadan AKYBMS 1443H

KUCHING, 14 April 2022 – Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Ali bin Abi Thalib r.a.:
“Barang siapa membaca Al-Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 anggota keluarganya yakni mereka yang semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.”
Berbekalkan makna tersurat dan tersirat daripada banyak hadis sahih yang menyebut mengenai kelebihan penghafaz Al-Quran, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) terus beristiqamah menyantuni Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah, Kampung Selang Ulu, Kuching dengan menghantar lebih 20 pek beras dan bakul makanan bermula sejak tahun 2018 yang lepas.
Wakil AKYBMS, Saudara Yusuf bin Jalli, turut berkesempatan menyampaikan salam kasih dan hormat daripada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi LPA AKYBMS; YBhg. Datuk Haji Mohd. Naroden Haji Majais, Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) AKYBMS.
Seuntai ucapan takzim selamat berpuasa daripada YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS kepada seluruh warga maahad dan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan 1443H.
Selain menyatakan ketidakhadiran Datu Pengurus Besar, beliau turut memohon agar anak-anak tahfiz ini menitipkan doa kesembuhan dan kesejahteraan buat Datu Dr. Sanib (kontak rapat) serta Datin Fatimah yang dijangkiti virus Covid 19 dan sedang menjalani sesi kuarantin kendiri.
Ustaz Azman Zen, Mudir Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah dalam ucapan ringkas alu-aluan beliau turut menyatakan penghargaan atas keprihatinan AKYBMS selama menjalin hubungan strategik.
“Saya ingin mencadangkan agar selepas ini pihak kami dapat ikut serta dalam pengisian program ini atau program lain. Misalnya dengan menyediakan slot khas untuk sesi taaruf dan tazkirah pendek bagi berkongsi ilmu agama, kaedah penghayatan solat, fardu ain, klinik bacaan Al-Fatihah dan sebagainya untuk kariah di kawasan agihan.”
“Insyaallah, kerjasama ini akan memberikan nilai tambah kepada program ini kelak.” Tambah beliau lagi.
Cadangan dan pandangan tersebut akan diambil perhatian khusus sebagai salah satu daripada maklum balas untuk penambahbaikan program pada masa yang akan datang.
Perjalanan pasukan Ihya Ramadan AKYBMS 1443H diteruskan lagi ke destinasi berikutnya iaitu Masjid Darul Ibadah, RPR Batu Kawa Fasa 1.
Suasana redup seolah-olah memayungi derap perjalanan pasukan AKYBMS untuk menyantuni asnaf-asnaf di RPR Batu Kawa Fasa 1.
Setelah sampai, kehadiran kami disambut dengan sapaan mesra oleh Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) Masjid Darul Ibadah RPR Batu Kawa Fasa 1.
Setelah sesi taaruf dan taklimat program ringkas, acara simbolik penyerahan sumbangan barangan makanan dan pek beras 10 kg kepada asnaf dilaksanakan.
Pengerusi JKP Masjid Darul Ibadah RPR Batu Kawa Fasa 1, Encik Amil Anel turut secara simbolik menerima bagi pihak kariah.
Mudah-mudahan, bersamalah kita merafak doa agar Allah swt merahmati usaha kerdil AKYBMS ini dalam menyemarakkan nilai-nilai kasih sayang dalam Islam sebagai manifestasi syariat yang syumul.
“Hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah.”
“SAMAkasih, SAMArasa”
Salam Ramadan Kareem 1443H.
Daripada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan,
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS;
Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS;
YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said,
Pengurus Besar AKYBMS;
Dan seluruh kakitangan Pengurusan AKYBMS

Kongsi berita ini