Artis Kelahiran Sarawak hasilkan ukiran ‘Rutit’ Pua Kumbu dapat perhatian United Nations

KUCHING, 04 OGOS 2021 (SNN): Umum kita ketahui seni ukiran tangan didominasikan oleh kaum lelaki namun tidak kurang juga kaum wanita menceburi minat seni ukiran tersebut. Anak Kelahiran Sarawak Anniketyni Madian seorang pengukir profesional dalam seni ukiran arca kayu mula menceburi bidang ini sejak tahun 2008 lalu berjaya menarik perhatian United Nations selepas beliau berjaya menghasilkan ukiran ‘Rutit’ Pua Kumbu. Minat beliau yang mendalam pada seni halus berunsurkan kayu berjaya menyumbang kerjayanya dengan mencapai kejayaan di luar jangkaan malah tersohor di Asia. Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan rakyat Sarawak khususnya negara Malaysia.

Wanita berdarah Iban dan Melayu ini mengakui minat yang kuaat terhadap seni arca kayu sejak melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Seni Halus (Arca) di Universiti Teknologi Mara. Beliau tidak ingin hanya terikat dengan karya biasa, maka dalam setiap pembuatan hasil karyanya akan diterapkan dengan elemen Pua Kumbu kerana elemen ini sangat popular dalam kalangan wanita kaum Iban dan juga dalam industri pembuatan seni tenunan tekstil di Sarawak. Secara tradisinya, kain bercorak berlapis warna ini digunakan dalam upacara dan peristiwa penting seperti kelahiran anak, apabila sesseorang sampai usia, bagi tabir mayat yang diletakkan di rumah panjang sebelum pengebumian dan sebagainya.

Menurut beliau, apa yang lebih menarik adalah hasil seni arcanya digabungkan dengan unsur-unsur Islam seperti kaligrafi dan tulisan Jawi dan arca yang dihasilkan sendiri itu juga bersifat kontemporari yang sesuai dengan selera masyarakat sekarang. Selain itu, sebagai anak jati Sarawak sudah menjadi tanggungjawab untuk mempromosikan budaya masyarakat Sarawak menerusi penghsilan seni ukiran.

Antara satu hasil karya seni beliau

 

Pencapaian Hasil Ukiran yang berjaya memukau pandangan United Nations

Anniketyni yang baru berusia 34 tahun itu telah berjaya menjadi finalis dalam Sovereign Asian Art Prize (SAAP) di Hong Kong sebanyak dua kali, mendapat pengiktirafan negara dan berjaya mengembangkan seni halus di peringkat antarabangsa dalam pameran seni di beberapa buah negara.

Tidak hanya itu, hasil seni arca beliau boleh dilihat diseluruh dunia bahkan sehingga mampu menarik perhatian United Nations dan Google. Hasil tangan beliau juga digunakan untuk dijadikan penghargaan di Food and Agriculture of United Nations yang diadakan di Rome, Italy. Bahkan baru-baru ini, beliau juga turut menampilkan diri dalam Xiaomi Malaysia Mi Note 11.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi pandemik ini, beliau tetap optimis terhadap penghasilan seni halus pada masa depan kerana beliau ingin seni dan budaya Malaysia terus kekal berada di persada antarabangsa. Beliau juga percaya bahawa seniman wanita di Malaysia yang dianggap minoriti berpotensi dalam mengembangkan cara kerja kontemporari.

Kongsi berita ini