KUCHING, 30 September 2026 – Alhamdulillah, Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 29 hingga 30 September 2026, telah melabuhkan tirainya dengan jayanya di Wisma Melayu Sarawak, Kuching.
Persidangan yang bertemakan “Sejarah Sarawak: Mengisi Makna, Membina Negara Bangsa” telah menghimpunkan para sejarawan, sarjana, penyelidik, pembentang, pempamer serta peserta bagi membincangkan pelbagai aspek penting berkaitan sejarah Sarawak menerusi pembentangan ilmiah, perkongsian hasil penyelidikan dan pameran yang disediakan sepanjang persidangan berlangsung.
Sepanjang dua hari penganjurannya, persidangan ini telah menjadi wadah pertukaran ilmu dan pandangan dalam memperluas pemahaman terhadap perjalanan sejarah Sarawak, termasuk sejarah awal, perjuangan dan nasionalisme, perkembangan masyarakat serta pelbagai bidang yang berkaitan dengan pensejarahan negeri ini. Kehadiran para pempamer turut memeriahkan persidangan melalui perkongsian bahan, koleksi, penerbitan dan maklumat yang memberi nilai tambah kepada pengalaman para peserta dan pengunjung.
Persidangan ini dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Pustaka Negeri Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada semua pembentang, moderator, pempamer, peserta, tetamu jemputan, agensi kerjasama, urus setia serta seluruh pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas komitmen, sumbangan dan kerjasama yang diberikan sepanjang persidangan ini berlangsung.
Semoga segala ilmu, hasil perbincangan dan jaringan kerjasama yang terjalin menerusi Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 dapat terus menyumbang kepada usaha penyelidikan, pendokumentasian, pemeliharaan dan penyebarluasan sejarah Sarawak untuk generasi kini dan akan datang.
Terima kasih dan tahniah kepada semua yang telah bersama-sama menjayakan Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026. Semoga bertemu lagi dalam penganjuran yang akan datang.





