KUCHING, 25 September 2026 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 yang berlangsung pada malam ini di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching. AKYBMS turut mengambil bahagian sebagai pempamer dalam pameran dan jualan buku yang diadakan bersempena dengan majlis tersebut.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, mewakili YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
AKYBMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 yang diumumkan pada malam ini. Semoga pengiktirafan ini terus menjadi pemangkin kepada penghasilan karya dan penerbitan berkualiti serta memperkukuh perkembangan ilmu, persuratan dan budaya membaca di Sarawak.
Pada edisi terdahulu, AKYBMS turut mencatat pencapaian apabila buku berkaitan Santubong terbitan AKYBMS menerima pengiktirafan dalam anugerah berkenaan. Pencapaian tersebut menjadi dorongan kepada AKYBMS untuk terus memperkasa usaha penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan berkaitan sejarah, warisan serta budaya Melayu Sarawak.
AKYBMS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak atas jemputan serta peluang yang diberikan kepada AKYBMS untuk turut serta sebagai tetamu dan pempamer dalam majlis ini.
Tahniah kepada semua pemenang Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025





