AKYBMS dinobatkan sebagai Johan dengan menggondol hadiah RM10,000 untuk pertandingan Perarakan dan Perhimpunan sempena Hari Sarawak yang ke-60

22 Julai 2023 – Tahniah kontinjen Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) kerana telah mendapat johan untuk pertandingan Perarakan & Perhimpunan sempena Hari Sarawak yang ke-60 kategori NGO.

Pasukan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak  (AKYBMS) muncul juara perarakan dalam Majlis Perarakan dan Perhimpunan bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Foto: N A D I

KUCHING, 22 Julai: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) johan bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pasukan Sarawak Multimedia Authority (SMA) pula dipilih sebagai pasukan terbaik kategori Badan Berkanun Pihak Berkuasa Tempatan manakala Pasukan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) muncul juara bagi kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan sempena perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka hari ini.

Majlis Perhimpunan dan Perarakan Hari Merdeka Sarawak 2023 yang merupakan salah satu acara utama bersempena Sambutan Perayaan Sarawak Merdeka 60 Tahun melibatkan penyertaan sebanyak 75 kontinjen dan anggaran 3,000 peserta. Kesemua kontinjen yang mengambil bahagian hari ini tampil dengan kostum menarik malah ada yang turut mempersembahkan tarian mengikut era yang dipilih bermula tahun 1960-an bagi menarik hati juri.

Kontinjen badan beruniform pula melakukan persembahan pancaragam dan lintas hormat di Padang Merdeka, hari ini. Sementara itu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak pula masing – masing muncul naib johan dan menduduki tempat ketiga bagi kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Lembaga Kemajuan Bintulu pula dipilih sebagai naib johan bagi kategori Badan Berkanun Pihak Berkuasa Tempatan dan GLC manakala Bintulu Port Holdings Berhad di tempat ketiga. Kelab Gagong Sarawak merangkul naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh Persekutuan Persatuan Orang Ulu bagi kategori NGO.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 manakala naib johan menerima wang tunai sebanyak RM7,000 dan tempat ketiga sebanyak RM5,000.Dalam pada itu, kemuncak perarakan menyaksikan seramai 2,000 peserta membawa payung berwarna emas dan berselendang bagi membentuk logo 60 Tahun yang menggambarkan Sarawak lebih kukuh dalam perpaduan dan keterangkuman dalam kepelbagaian.

Sementara itu, pada 28 Julai 2023, AKYBMS telah menyerahkan mock cek dan trofi kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah, iaitu YB. Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan untuk disimpan di Pejabat Wisma Bapa, Kuching.

Kongsi berita ini