⚜️Warisan Senjata Melayu Sarawak⚜️

Pengkalan Kuap, 13 Februari 2026 — Satu tinjauan lapangan diadakan ke kediaman Encik Ramdi bin Bujang, seorang penggiat seni budaya Sarawak, bagi tujuan sesi temu bual dan dokumentasi berkaitan persenjataan tradisional Melayu Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha pemeliharaan warisan ketara dan tidak ketara negeri ini. Tinjauan ini dilaksanakan melalui kolaborasi strategik bersama TVS dalam memperkukuh liputan serta dokumentasi visual berkaitan khazanah persenjataan tradisi.
Dalam sesi tersebut, Encik Ramdi bin Bujang berkongsi secara terperinci mengenai jenis-jenis persenjataan Melayu Sarawak, fungsi, simbolisme serta nilai estetika yang terkandung dalam setiap bilah dan sarung senjata. Beliau turut menjelaskan aspek pembuatan, bahan yang digunakan, motif ukiran serta peranan persenjataan dalam konteks sejarah, keselamatan, adat istiadat dan identiti masyarakat Melayu Sarawak. Perkongsian ini memperlihatkan bahawa persenjataan tradisional bukan sekadar alat pertahanan diri, malah menjadi lambang maruah, kepahlawanan dan kedaulatan.
Inisiatif tinjauan ini turut melibatkan penyertaan kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) bersama wakil TVS sebagai rakan produksi, sekali gus menyokong usaha pendokumentasian sistematik serta penyebaran maklumat kepada masyarakat umum mengenai kepentingan memelihara warisan persenjataan Melayu Sarawak dalam budaya kontemporari.

Kongsi berita ini