KUCHING, 9 Mac — Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), telah mengadakan satu lawatan khas ke tapak projek Wisma Melayu Sarawak bagi meninjau perkembangan semasa pelaksanaan projek tersebut.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran terkini mengenai kemajuan kerja-kerja pembinaan serta memastikan setiap komponen pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan, jadual pelaksanaan dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Tinjauan tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi AKYBMS dalam memastikan pembangunan Wisma Melayu Sarawak dapat disiapkan dengan sempurna serta memenuhi matlamat penubuhannya sebagai sebuah mercu tanda penting yang melambangkan warisan, identiti dan jati diri masyarakat Melayu di Sarawak.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut diberikan taklimat ringkas oleh pihak pengurusan projek berkenaan status kemajuan semasa, skop kerja yang sedang dilaksanakan serta perancangan kerja bagi fasa akhir pembinaan. Beliau turut meneliti beberapa komponen utama pembangunan bagi memastikan kemudahan yang disediakan kelak mampu memenuhi keperluan pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan, pendidikan serta program kemasyarakatan yang melibatkan masyarakat Melayu Sarawak.
Bangunan Wisma Melayu Sarawak dibangunkan sebagai sebuah kompleks yang komprehensif dan berfungsi sebagai pusat rujukan, pemerkasaan serta pemeliharaan warisan Melayu Sarawak. Kompleks ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan utama termasuk sebuah dewan serbaguna yang mampu memuatkan sehingga 2,000 orang pada satu-satu masa bagi penganjuran majlis rasmi, program kebudayaan, persidangan serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Selain itu, bangunan ini turut menempatkan pejabat pengurusan AKYBMS yang akan berfungsi sebagai pusat baharu pentadbiran.





